Kepala Komandan IS Dipenggal Kerana Sering Goda Isteri Orang Bawahan

KUALA LUMPUR: Akibat sering mengganggu isteri kepada anggota bawahan, seorang ketua atau komandan militan Negara Islam (IS) telah dipenggal kepalanya.

Anggota kumpulan militan tersebut bagaimanapun kini berada dalam pelarian kerana bimbang diambil tindakan oleh penyokong-penyokong tegar ketuanya.

Kejadian yang dilaporkan Iraqi News itu berlaku di Sharqat, Salah al-Din yang terletak di utara Baghdad dan memetik memetik sumber yang enggan didedahkan identitinya.

Menurut ceritanya, anggota IS yang berusia 28 tahun dan berasal dari Iraq itu mengetahui bahawa isterinya sering digoda komandan tersebut setiap kali dia meninggalkan kediaman untuk bertempur di medan perang.

Beberapa hari lalu sejurus pulang, dia nekad berdepan dengan ketuanya itu untuk bertanyakan tentang masalah tersebut. Pertemuan itu tidak berakhir dengan baik apabila kepala ketuanya telah dipenggal.

Berikutan kejadian mengejutkan itu, pihak IS telah mengeluarkan perintah untuk menangkap lelaki berkenaan, sama ada hidup atau mati, dan dibawa kembali ke markas IS di Sharqat.

Sharqat merupakan kubu kuat IS di wilayah Salah-al-Din sejak berjaya ditakluk pada Jun 2014.

Sementara itu, nasib isteri anggota IS berkenaan tidak diketahui. Secara umumnya, walaupun golongan wanita tidak dilayan dengan baik dalam IS, masih ramai wanita dari negara luar yang tertarik untuk menyertai kumpulan militan itu.

 

Source: www.astroawani.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *