“Apa sekalipun yang berlaku, saya tetap menyayangi Siti sampai ke jannah (syurga), saya cintakan dia sehingga ke hujung nyawa saya,” demikian kata-kata perangsang sang suami, Datuk Seri Khalid Jiwa,56, buat penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 36, yang ketika ini sedang bertarung dengan dugaan hebat ekoran keguguran kandungannya.
Menurut Datuk Seri Khalid yang mesra digelar ‘Datuk K’, kasih sayangnya tidak akan sama sekali berbelah bahagi buat isteri tersayang, malah semakin menebal buat Siti, pada ketika artis berkenaan dilanda duka ekoran janin yang dikandung tidak mampu diselamatkan.
“Kami reda, kami terus tabah dengan ujian Allah ini. Aturan Allah adalah sebaik-baik perancangan buat hamba-Nya. Itu pesan saya buat Siti. Insya-Allah, masih boleh berusaha lagi. Saya tahu, isteri saya seorang yang sangat kuat untuk melalui semua dugaan ini,” katanya lagi secara eksklusif, kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia pada 13 November lalu melaporkan, penyanyi yang mendapat jolokan ‘Si Jantung Hati Malaysia’ itu sah hamil dan ketika itu, kandungannya sudah memasuki usia bulan kedua.
Sementara itu, dalam temubualnya dengan mStar Online, Datuk K menyifatkan isterinya seorang yang sangat kental dan tabah dengan ujian Allah apabila kandungan yang berusia kira-kira dua bulan gugur.
Datuk Seri Khalid berkata, ketika doktor memberitahu berita berkenaan, reaksi wajah Siti nampak sedih, namun beliau tenang menerima hakikat bahawa anak yang dikandung itu sudah tiada.
“Mujurlah doktor yang kami jumpa seorang yang sangat profesional ketika memberitahu tentang berita keguguran tersebut.
“Doktor turut memberi kata-kata positif bahawa Siti masih lagi ada harapan untuk mengandung dengan mudah selepas ini. Dan perkara itu membuatkan dia tenang sedikit.
“Apa pun kami menerima ujian ini dan percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya,” kata Datuk Seri Khalid yang dihubungi mStar Online pada petang semalam.
Siti menerusi Instagram miliknya pada pagi Selasa berkongsi berita sedih mengalami keguguran pada usia kandungan dua bulan.
Dalam pada itu, Datuk Seri Khalid berkata, walau apa yang berlaku dia tetap sayangkan isterinya itu.
“Dia seorang yang sangat kuat. Benar kami mahukan anak. Tetapi walau apa yang berlaku saya tetap cintakan Siti,” tuturnya.
Sementara itu, Datuk Seri Khalid berkata, Siti akan berpantang selama dua minggu dan akan ke Jakarta bagi urusan kerja.
Kemudian beliau merancang ingin membawa Siti bercuti di mana-mana tempat peranginan agar dapat berehat dengan tenang.
“Selepas Siti ke Jakarta, dia akan berehat sekejap.
“Pada mulanya kami mahu bercuti ke Eropah tetapi kami ubah fikiran dan mahu bercuti di tempat peranginan berdekatan. Tengok dulu macam mana,” ujarnya.
Source: http://beritaharian.sg