Perjanjian bersejarah Vatican dengan Palestin berkuatkuasa

VATICAN CITY: Perjanjian pertama yang dicapai Vatican dengan Palestin – yang dianggap Israel tidak akan memanfaatkan proses perdamaian di Timur Tengah – kini berkuatkuasa, menurut pemimpin Vatican.

Perjanjian itu ditandatangani pada Jun lalu, iaitu lebih dua tahun selepas Gereja Roman Katolik mengiktiraf wilayah Palestin sebagai negara berdaulat pada Februari 2013.

Ia meliputi operasi Gereja itu di kawasan-kawasan Tanah Suci di wilayah Palestin, namun, perjanjian itu dianggap sebagai lambang sokongan antarabangsa yang kian meningkat bagi penubuhan sebuah negara Palestin.

“Merujuk kepada Perjanjian Komprehensif antara Holy See dan Negara Palestin, yang ditandatangani pada 26 Jun 2015, Holy See dan Negara Palestin sudah memaklumkan antara satu sama lain bahawa keperluan prosedur bagi penguatkuasaan perjanjian sudah dipenuhi,” menurut kenyataan Vatican pada Sabtu lalu (2 Jan).

“Perjanjian ini berhubung aspek-aspek penting dalam kehidupan dan kegiatan Gereja di Palestin, dan pada masa yang sama, mengesahkan semula sokongan terhadap huraian yang dirunding dan perdamaian bagi konflik di rantau ini,” tambahnya.

Pada Jun lalu, Vatican menyifatkan perjanjian itu, yang termasuk peruntukan bagi melindungi hak orang Kristian, sebagai satu contoh baik bagi negara-negara Islam dan Arab yang lain berkaitan hubungan dengan masyarakat minoriti Kristian yang kian hebat ditindas di Timur Tengah.

Israel bagaimanapun menyatakan perjanjian tersebut dihasilkan terlalu awal dan tidak akan menghasilkan kemajuan dalam usaha menggalak orang-orang Palestin meneruskan rundingan secara langsung dengan pihak Yahudi.

Langkah Vatican mengiktiraf negara Palestin itu – susulan langkah yang sama oleh puluhan negara lain – dilakukan menyusuli undi yang menyokong pengiktirafan tersebut oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 2012.

Gereja Roman Katolik mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sejak 1993, namun masih belum memuktamadkan perjanjian mengenai hak orang Kristian di sana.

Rundingan mengenai isu itu berlarutan sejak 1999, tetapi isu status Baitulmakdis berkali-kali menemui jalan buntu.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *