Khilaf Tanpa Ilmu Punca Perpecahan Kalangan Umat Islam

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) — Perbezaan pendapat atau khilaf yang dibahaskan tanpa ilmu dilihat menjadi punca kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Felo Kanan Pusat Kajian Syariah dan Undang-undang Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Mohd Farid Mohd Shahran berkata ketika ini, terdapat ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak menepati prinsip dan kaedah perbezaan pandangan semasa mengemukakan sesuatu pendapat.

“Kadang-kala yang dipertikai dan diperdebatkan hanyalah perkara cabang (perkara kecil) tetapi diangkat menjadi isu besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan pada Persidangan Meja Bulat Prinsip dan Kaedah Perbezaan Pandangan Dalam Kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah anjuran IKIM di sini, hari ini.

Beliau berkata perbezaan pendapat itu sepatutnya membawa kepada kebaikan tetapi sebaliknya telah membawa kepada perselisihan dalam kalangan umat Islam.

Katanya perbezaan pendapat yang diutarakan juga bersandarkan kepada kepentingan kelompok dan individu tertentu sahaja.

Justeru dalam menangani masalah itu, beliau menyeru ulama kembali kepada prinsip dan adab dalam menyelesaikan perbezaan pendapat, antaranya mengutamakan dalil dan hujah, memahami keutamaan dalam pebezaan pandangan serta mencari ruang keharmonian atas sesuatu pertentangan.

Persidangan yang menghimpunkan kira-kira 100 ulama termasuk mufti dan hakim syarie itu, menjadi platform kepada usaha menyatukan kembali ulama dalam memahami konsep sebenar perbezaan pendapat.

 

Source: http://www.bernama.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *