Pelajar Contoh Ingin Timba Pengalaman Layari Dunia

SEWAKTU kecil Encik Indrasyah Putera Kudsi Dulkifli sering tertanya-tanya bagaimana alat-alat di sekelilingnya berfungsi.

Apabila ada sebarang alat yang rosak baik kipas, radio mahupun televisyen, beliau akan membukanya dan mengesan masalah yang ada serta cuba membetulkannya.

Tidak hairanlah pada usia yang muda, beliau berjaya membuat alat yang direkanya sendiri.

“Saya mendapat ilham membina gegelung tesla ketika menonton filem The Sorcerer’s Apprentice lantas mengaplikasikan apa yang saya pelajari dalam kelas fizik setelah memahami asas-asas bagaimana gegelung tesla berfungsi,” jelas beliau yang mencipta alat tersebut selepas tamat peperiksaan GCE Peringkat ‘O’.

Gegelung tesla ialah sejenis mesin yang boleh menghasilkan voltan tinggi dan mencipta arka elektrik atau petir.

Beliau memilih mengejar Diploma Kejuruteraan Marin di Politeknik Singapura (SP) meskipun keputusan GCE ‘O’ beliau melayakkannya ke maktab rendah kerana pentingnya industri kelautan kepada ekonomi negara.

Ternyata pilihannya tepat selepas Encik Indrasyah, 20 tahun, muncul sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajar Contoh SP. Beliau satu-satunya pelajar Melayu daripada 22 pelajar tahun akhir yang menerima anugerah itu.

Beliau dipilih berdasarkan pencapaiannya yang menyerlah dengan mendapat Gred Purata Mata (GPA) terkini 3.907. Encik Indrasyah juga dalam kegiatan kokurikular di samping berusaha menyumbang kembali kepada masyarakat.

Namun, Encik Indrasyah akur terpaksa mengimbangi cabaran menyiapkan projek tahun akhirnya, menganjurkan pertandingan memanjat tembok kebangsaan, Rock Master, dan menjaga datuknya yang mengalami sakit pinggang akibat terjatuh.

Beliau tidak teragak-agak mengorbankan masa bersama rakan dan bergegas pulang sejurus tamat kelas bagi menjaga datuknya, Encik Kudsi Mohamed Zain, 84 tahun, ketika ayahnya, Encik Dulkifli Kudsi, 58 tahun, dan kakaknya, Cik Istifarah Puteri Kudsi, 24 tahun, sibuk bekerja.

Datuk dan neneknya, Cik Sahra Abu Bakar, 82 tahun, tinggal bersama mereka.

Ditanya mengenai rahsia mendapat GPA yang cemerlang, Encik Indrasyah berkata:

“Saya fokus di dalam kelas, bertanya macam-macam soalan, dengan itu saya faham 90 peratus mengenai sesuatu subjek.”

Beliau, yang mendapat tawaran dalam program kembar peringkat ijazah sarjana muda dalam pengajian kejuruteraan dan pengurusan perniagaan di universiti tempatan, bercadang menangguh pengajian dan kemasukannya dalam Perkhidmatan Negara.

Ini kerana Encik Indrasyah ingin merebut peluang menimba pengalaman belayar selama enam bulan yang ditawarkan oleh SP.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *