PETALING JAYA: Nasi Lemak, juadah kesukaan ramai, kini diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 sarapan “paling sihat” di peringkat antarabangsa oleh TIME Magazine.
Rencana itu menyenaraikan pelbagai komponen juadah nasi yang berasaskan santan dan menyifatkan nasi lemak sebagai “amat lazat”.
“Memang betul terdapat kandungan lemak yang melebihi kadar yang baik untuk anda (kurangkan nasi untuk kurangkan kadar lemak), namun ia seimbang dengan adanya banyak manganese, protein dan karbohidrat,” menurut rencana itu.
“Cili di dalam sambalnya juga meningkatkan kadar metabolisme (Bergantung kepada pendapat pakar pemakanan anda),” tambah rencana tersebut.
Antara juadah lain yang tersenarai adalah sarapan Turki yang menyediakan zaitun, tomato, keju putih, telur dan sosej serta shakshouka dari Israel di mana telurnya direbus di dalam sos tomato dan sayur-mayur.
Sarapan Jepun yang mempunyai pelbagai hidangan sampingan yang dimakan bersama nasi dan juga air rebusan tulang pho Vietnam yang dihidangkan bersama pelbagai jenis sayur dan herba turut disenaraikan.
Juadah Mesir pula adalah kacang ful dengan rempah ratus yang dimasak semalaman, sementara gallo pinto, iaitu kacang hitam yang dihidangkan dengan nasi, yang berasal dari Costa Rica juga dipilih.
Di Eropah pula bijirin menjadi pilihan, iaitu hafragrautur dari Iceland dan kasha dari Rusia yang mengandungi pelbagai jenis bijirin dan dimasak dengan susu.
Upma dari India turut disenaraikan dan disifatkan sebagai campuran yang dibuat daripada suji yang sudah dipanggang.
Source: http://berita.mediacorp.sg