Insiden Kelar Di ITE: Rayuan Terhadap Hukuman Penjara Diluluskan

Rayuan yang dikemukakan seorang pelajar ITE terhadap hukuman penjara 18 bulan dan enam sebatan rotan yang dikenakan ke atasnya, diluluskan mahkamah.

Muhammad Zuhairie Adely Zulkifli, 17 tahun, didapati bersalah mengelar teman lelaki rakan sekolahnya di kampus ITE pada Mac tahun lalu.

Hakim Chan Seng Onn hari ini (21 Apr) sebaliknya mengarahkan Zuhairie supaya menjalani latihan pemulihan antara 18 bulan hingga tiga tahun.

Pada Mac tahun lalu, Zuhairie menggunakan pisau sepanjang 35cm untuk mengelar Ahmad Nuthaqif Sahed berkali-kali di mukanya. Zuhairie melarikan diri selepas serangan itu, namun ditangkap pada hari yang sama. Mangsa mengalami beberapa keretakan tulang serta beberapa tendonnya juga terputus akibat serangan tersebut.

Zuhairie mengaku bersalah atas serangan tersebut pada Oktober 2015 dan dijatuhi hukuman pada November tahun lalu.

TAFSIRAN HAKIM TERHADAP KESALAHAN “TERLALU BERAT”

Peguamnya, Benny Tan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa tafsiran Hakim Daerah terhadap kesalahan-kesalahan Zuhairie mungkin terlalu berat, dan beliau menjatuhkan hukuman pencegahan, bukan pemulihan.

Encik Tan menggesa Mahkamah Tinggi supaya mengarahkan Zuhairie menjalani latihan pemulihan, di mana remaja itu boleh memanfaatkan program-program khusus untuk membimbingnya – sesuatu yang gagal dilakukan ibu bapanya, kata peguamnya.

LAPORAN: ZUHAIRIE MEMBESAR DALAM SEKITARAN TIDAK STABIL

Satu laporan psikologi menyatakan bahawa Zuhairie membesar dalam sekitaran yang “tidak stabil” dengan “jagaan ibu bapa yang tidak konsisten serta keganasan di rumah.”

Mahkamah diberitahu bahawa ibu bapa Zuhairie “gagal menjadi peran contoh” dengan “rekod jenayah bagi tempoh masa yang panjang”.

Zuhairie juga tinggal di sebuah rumah kebajikan sejak usianya 12 tahun.

Peguamnya berkata latihan pemulihan akan memperbetulkan kesan latar belakang keluarganya terhadap Zuhairie.

PENJARA AKAN BERI “KESAN NEGATIF”

Beliau menambah bahawa langkah terbaik bagi kepentingan masyarakat ialah mengarahkan Zuhairie menjalani latihan pemulihan, bukan menjatuhkan hukuman penjara, di mana remaja itu akan terdedah kepada kesan negatif.

Encik Tan juga menunjukkan mahkamah dua klip video insiden serangan itu yang dirakamkan seorang pelajar dan tersebar luas di lelaman media sosial. Ia menunjukkan mangsa mencemuh Zuhairie dan mencabarnya supaya melawannya.

DPP: ZUHAIRIE BERSEDIA GUNA KEGANASAN KETERLALUAN

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Wong Kok Weng, menggesa Mahkamah Tinggi supaya jangan menarik balik hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya.

Beliau menarik perhatian tentang beberapa perkara dalam laporan probesyen Zuhairie – termasuk sikapnya yang bersedia menggunakan keganasan yang keterlaluan untuk menghuraikan konflik, dan sikapnya yang semberono dan terburu-buru.

DPP Wong juga berkata prospek pemulihan Zuhairie tidak seharusnya dibesar-besarkan, dan menarik perhatian, Zuhairie terus mewajarkan tindakan ganasnya dengan menyalahi mangsa kerana menyakitkan hatinya.

Hakim Chan, ketika menarik balik hukuman yang dijatuhkan sebelum ini, memberitahu Zuhairie supaya memanfaatkan sepenuhnya tempoh menjalani latihan pemulihan untuk memperbaiki dirinya.

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *