Di tengah-tengah pasaran runcit yang suram ekoran ketidaktentuan ekonomi, pasaran fesyen muslimah masih terus berkembang.
Malah, dianggarkan mencecah $320 bilion pada 2018.
Di Pesta Fesyen Muslimah anjuran DEWI@DPPMS, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli menganjurkan agar para peniaga tempatan berani keluar daripada kepompong keselesaan dan meneroka peluang pasaran di peringkat antarabangsa.
Encik Masagos turut menyanjung usaha DEWI@DPPMS yang memainkan peranan menggalak sifat keusahawanan di kalangan wanita.
Malah, sejak ditubuhkan ia mendampingi lebih 300 usahawan wanita.
Pesta Fesyen Muslimah kali keempat ini juga dialu-alukan para pereka dan peniaga fesyen tempatan seperti Butik Zen Aura, Mod Kebaya dan banyak lagi.
Sempena menyambut ulang tahun DPPMS ke-60, ia turut melancarkan kelompok terbarunya iaitu Kelompok Runcit.
Ia diharapkan dapat menjadi wadah untuk para peruncit membina rangkaian dan memanfaatkan perkongsian sumber serta maklumat dalam mengharungi persekitaran ekonomi yang mencabar.
“Mereka harus meluaskan lagi barangan mereka, bagaimana mengaplikasikan kemahiran mereka pada dunia fesyen secara luas supaya ia bukan hanya diguna atau digemari oleh orang-orang Islam sahaja tetapi juga untuk masyarakat lebih luas,” jelas Encik Masagos.
Source: Berita MediaCorp