Buat pertama kalinya, sebuah institusi masjid berjaya merangkul anugerah emas atas usahanya menerapkan unsur mesra pengguna.
Masjid Al Ansar juga menerima pujian atas penggunaan ruang yang bijak dalam reka bentuk masjid.
Anugerah tersebut diberikan kepada masjid Al Ansar bagi pensijilan Tanda Reka Bentuk Universal Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA). Ia adalah satu-satunya tempat ibadah daripada 25 projek yang menerima pengiktirafan tahun ini.
Apakah ciri-ciri masjid Al Ansar yang melayakkannya merangkul anugerah emas?
KONSEP TERBUKA
Apabila anda melangkah masuk ke masjid Al Ansar, apa yang akan anda rasakan ialah keluasan masjid yang terletak di Bedok North itu. Berbeza dengan masjid Al Ansar yang lama, masjid yang berwajah baru itu menerapkan konsep terbuka dari segi rekaannya.
Pengerusi Masjid Al Ansar, Zahid Ahmad, berkata: “Salah satu keunikan Al Ansar ialah mungkin dari seni bina, rekaannya, agak terbuka. Yang tidak ada fungsi dinding luar atau pagar. Ia konsep terbuka. Kerana saya dan jawatankuasa, semasa kami membuat reka bentuk itu, dari peringkat rekaan lagi, kami rasakan Islam itu agama terbuka, jadi ia tidak semestinya tertutup.”
PENGGUNAAN RUANG YANG INOVATIF
Penggunaan ruang yang inovatif dan bijak juga turut diserap dalam rekaan masjid Al Ansar.
Encik Zahid menambah: “Kita juga ada kawasan legar atau The Plaza di depan, agak terbuka. Saya kira ini adalah salah satu kawasan legar yang terbesar di masjid.
“Ia mempunyai pelbagai guna, ia bukan sahaja untuk dewan solat pada hari Jumaat tetapi digunakan bagi aktiviti-aktiviti lain seperti untuk kelas-kelas agama kita, kanak-kanak berkumpul, sebagai tempat mereka beriadah dan bermain dan juga aktiviti-aktiviti masjid yang lain. Kalau masjid lama, kurang kita ada aktiviti sedemikian.”
Bagi memaksimakan ruang yang diberi, menara masjid, iaitu satu-satunya bahagian yang kekal dari bangunan masjid yang lama, kini dijadikan terowong lif.
MESRA KELUARGA, WARGA TUA
Bukan itu sahaja, ciri-ciri Masjid Al Ansar yang mesra keluarga dan warga tua turut mendapat perhatian.
Memandangkan kebanyakan jemaah warga emas datang dari kawasan Chai Chee Street, sebuah pintu masuk khas sudahpun disediakan bagi mereka.
Mereka yang berkerusi roda pula boleh mengggunakan tanjakan yang disediakan. Tempat mengambil wudhu dan ruang solat utama juga berada berhampiran dengan pintu masuk khas itu.
Ciri-ciri mesra warga tua itulah antara faktor yang membuat Masjid Al Ansar mendapat emas bagi Tanda Reka Bentuk Universal BCA.
Sebelum ini, masjid Al Mawaddah dan Kampung Siglap menerima gangsa dalam kategori yang sama. Masjid Al Ansar merupakan antara sembilan projek yang menerima emas.
Secara keseluruhannya, 25 projek mendapat Tanda Reka Bentuk Universal BCA tahun ini, berbanding 37 projek pada tahun lalu.
Selain Masjid Al Ansar, masjid baru, Al Islah, baru-baru ini turut mendapat sorotan apabila reka bentuk bangunannya diulas dalam majalah seni bina antarabangsa The Architectural Review yang berpangkalan di London.
Antara lai, majalah tersebut menyebut tentang reka bentuk Al Islah yang mengikut arus kemodenan namun masih lagi mengekalkan ciri-ciri keislaman dalam sebuah masjid.
Source: http://berita.mediacorp.sg