Bapa Kelar Anak 3 Tahun Sebelum Cuba Bunuh Diri

KEDAH, Malaysia: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera selepas dipercayai dikelar bapa kandungnya di Kampung Tengah Kodiang, menurut polis.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam tersebut (21 Mei), suspek berumur 29 tahun itu turut cedera selepas dipercayai cuba membunuh diri dengan menikam dadanya, kata Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Pemangku ACP Abdul Rahim Abdullah.

Kata beliau, suspek terbabit, yang dipercayai mempunyai masalah mental, sudah ditahan.

Suspek dan mangsa kini dirawat di Hospital Kangar. Kedua-duanya berada dalam keadaan stabil.

“Ketika kejadian, isteri suspek bersama nenek mangsa berada di luar rumah, dan suspek baru sampai di rumah. Kemudian suspek terus ambil mangsa dan kunci pintu rumah menyebabkan mereka tidak dapat masuk ke dalam.

“Nenek mangsa kemudian terdengar cucunya menjerit dan selepas itu suspek membuka pintu dan beliau nampak mangsa dan suspek berlumuran darah,” kata ACP Abdul Rahim dalam satu kenyataan.

“Kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Kodiang, sebelum polis menahan suspek yang terbaring di ruang tamu dengan kecederaan di dada kirinya dan merampas pisau dapur yang digunakan dalam kejadian itu di dalam bilik tidur,” tambahnya.

ACP Abdul Rahim berkata, isteri suspek memaklumkan suaminya sudah seminggu mengalami kemurungan serta mempunyai rekod sakit mental.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *