Belum Lagi Ramadan, Namun ‘Demam Raya’ Nampaknya Sudah Bermula

Promosi untuk kuih dan baju raya mula “membanjiri pasaran” di sana sini. Kek yang unik dan cantik seperti Batikrolls, merupakan antara juadah yang boleh dikatakan ‘terlajak laris’ musim ini.

Di tengah-tengah ekonomi tidak menentu, sejauh manakah para peniaga mengharungi persaingan sengit bagi menawan hati pembeli?

Yang pasti, ‘Demam Raya’ pun bermula dengan para peniaga giat mempromosikan produk-produk mereka secara online.

Tidak kira peniaga tempatan mahupun luar negara masing-masing membawa kepelbagaian dan pilihan- sekali gus membuat para pembeli pasti rambang mata!

Ramadan bakal menjelang sekitar seminggu lagi. Namun syarikat-syarikat dan pereka fesyen setempat sudahpun menjual dan mereka busana khas Hari Raya.

FASHIONVALET BAWA BAJU RAYA KE SINGAPURA

Syarikat fesyen terkenal dari Malaysia, FashionValet, juga tidak terkecuali dengan membawa busana khas Hari Raya dari Malaysia ke Singapura.

Syarikat FashionValet yang berasal dari seberang tambak, menghimpunkan pelbagai jenama dari pereka ternama Malaysia. Baru-baru ini ia melancarkan busana khas Hari Raya.

Jika selalunya pelanggan Singapura hanya dapat membelinya secara online, kini FashionValet membuka sebuah cawangan di kawasan Orchard Road di 313 Somerset.

“Memang saya tahu ekonomi sekarang bahagian runcit agak lembab tetapi FashionValet amat bertuah sebab kami mempunyai banyak pilihan dan pelanggan-pelanggan kami amat setia.

“Kami mempunyai tukikan yang khusus iaitu mereka yang di pertengahan hingga atasan. Saya rasa mereka tidak begitu terjejas dengan kelembapan ekonomi ini. Jadi bagi saya, kita mempunyai sasaran pelanggan yang tepat,” kata Pengarah Urusan FashionValet, Vivy Yusof.

PELANGGAN SUARAKAN KELEBIHAN PERSIAPAN AWAL

Menurut Vivy Yusof lagi, syarikatnya mula membuat pemasaran bagi produk-produk Hari Raya seawal tiga bulan.

“Memang lagi senang sebab kalau waktu Ramadan itu waktu kita sibuk dengan ibadah, kita sibuk dengan urusan harian, jadi kalau hendak fikir untuk Hari Raya macam terlalu banyak benda hendak dibuat pada satu masa.

“Tidak kira kedai fizikal mahupun secara online. Bagi sesetengah pembeli persiapan awal Hari Raya juga bermakna mereka dapat mengelakkan pembaziran,” jelas seorang pelanggan bernama Cik Nurul Suhana Sulaiman.

Ia disokong seorang lagi pelanggan, Cik Naime Zainal: “Pada bulan puasa, bazar selalunya penuh sesak dengan orang. Saya hendak tawar-menawar, saya hendak ke sana-sini, terpaksa bersaing dengan pelanggan-pelanggan yang lain.

Maka itu kata beliau, dengan persiapan awal, iaitu membeli lebih awal, beliau tidak akan berasa kelam kabut, selain dapat memastikan apa yang dibelinya berada dalam bajet.

BATIKROLLS – ANTARA KEK LARIS MUSIM INI

Selain sambutan untuk baju raya, kuih-muih raya juga laris dijual sehinggakan ada tempahan yang sudahpun penuh.

Batikrolls, misalnya, menerima 500 tempahan bagi kek gulungnya yang unik.

Pemiliknya, Cik Siti Nurashikin Shaikh Ismail berkata: “Buat pertama kali, saya letakkan di Facebook, dalam dua, tiga jam sudah mendapat pesanan-pesanan. Sambutannya memang lebih daripada jangkaan kami dan kami masih menerima permintaan walaupun tempahan sudah ditutup untuk Hari Raya.”

Untuk kekal berdaya saing dari peniaga-peniaga musiman yang lain, Cik Nurashikin mengambil langkah untuk menginovasikan idea kek gulung dengan menggabungkan lukisan Batik – sesuatu yang mungkin belum pernah dilihat di pasaran!

SEMANGAT NIAGA TANPA KEDAI

Walaupun sudah berniaga bersama ibunya selama lebih 20 tahun, Nurashikin belum mempunyai rancangan untuk membuka sebuah kedai.

“Secara online, risikonya rendah, sangat rendah dan saya boleh cuba beberapa produk kalau ia tidak mendapat sambutan. Saya boleh tukar dengan senang berbanding mempunyai kedai sendiri,” tambah beliau lagi.

Apa yang pasti, ketidaktentuan ekonomi sama sekali tidak melenturkan semangat para peniaga ini.

Bahkan bagi FashionValet dan Batikrolls persaingan sengit dari peniaga-peniaga lain sekali gus menyemarakkan lagi penjualan musim Ramadan.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *