LearnIslam.sg Dilancarkan, Kandungi Rujukan Agama Sempena Ramadan Ini

Umat Islam setempat kini boleh mendapatkan panduan agama dengan lebih mudah menerusi satu portal online, LearnIslam.sg.

Laman tersebut diperkenalkan di pelancaran Kempen Sentuhan Ramadan petang ini tadi (29 Mei).

Portal itu sudah boleh dilungsuri dan diteruskan selepas Ramadan sebagai satu-satunya wadah online yang mengandungi sumber rujukan agama yang dihasilkan sendiri oleh para asatizah tempatan yang bertauliah.

Antara lain portal LearnIslam.sg menghimpunkan pelbagai rencana keagamaan, sumbangan para asatizah termasuk Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram.

Selain itu, para pengguna yang berdaftar juga boleh mendapatkan senarai program keagamaan yang ditawarkan para penyedia di merata Singapura dan berdaftar secara langsung di portal tersebut.

Hadir di pelancaran tadi, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata inisiatif sedemikian tidak boleh hanya dilihat sebagai tindak balas kepada mesej-mesej pelampau  di Internet.

Sebaliknya, portal itu merupakan satu cara untuk mendalamkan lagi pemahaman agama Islam di kalangan golongan belia.

“Saya rasa dengan wadah yang ada ini, disediakan oleh pihak MUIS, kita boleh mengajak golongan belia untuk mereka tampil ke hadapan, untuk memberikan apakah soalan-soalan mereka, keprihatinan mereka. Kita boleh bekerjasama untuk menentukan bahawa mereka faham fahaman Islam dengan lebih mendalam dan sekaligus, kita mendidik mereka tentang nilai-nilai yang penting dalam masyarakat kita,” ujar Dr Yaacob semasa ditemui media.

SENARAI TEMPAT AGIH BUBUR RAMADAN

Satu kit persiapan Ramadan juga akan disediakan di portal itu. Ia mengandungi pelbagai maklumat seperti jadual solat tarawih, senarai tempat yang mengagih bubur Ramadan serta resipi-resipi juadah sahur dan iftar yang lebih sihat.

Inisiatif sedemikian selaras dengan tumpuan kempen Sentuhan Ramadan tahun ini iaitu ‘Menimba Ilmu’ yang menggalakkan umat Islam supaya meningkatkan kegiatan kerohanian serta ibadah sepanjang bulan Ramadan dan seterusnya.

Mengekalkan tema “Ramadan Bersama Keluarga”, kempen tahun ini dilancarkan oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, di Masjid Al-Iman petang tadi.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *