Selepas setahun menjalani kerja-kerja naik taraf, Masjid Sallim Mattar akhirnya menyambut bulan Ramadan ini dengan sekitaran yang lebih mesra warga emas dan golongan kurang upaya.
Ia kini mempunyai kemudahan bebas hadangan seperti lif, tanjakan serta bilik air khas untuk golongan kurang paya.
Tambahan ciri-ciri baru itu adalah untuk memenuhi keperluan para jemaah di kawasan MacPherson yang sejumlah besarnya warga emas.
Keluasan ruang ibadahnya pula tidak berubah dan boleh menampung sehingga 1,000 jemaah secara serentak.
Namun lobi lif di keempat-empat tingkatnya boleh menampung lagi 50 jemaah pada waktu-waktu sesak.
KERANA SOKONGAN MASYARAKAT
Untuk menggunakan ruang yang ada dengan sebaik-baiknya, beberapa tempat di dalam masjid juga diubahsuai. Ini termasuk dewan serba guna yang kini lebih luas dan selesa untuk para jemaah.
Meninjau semua kemudahan itu tadi, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim menyifatkan kerja peningkatan itu sebagai satu usaha baik bagi memenuhi keperluan para jemaah yang lanjut usia.
Dr Yaacob turut menyanjung tinggi sokongan masyarakat yang membolehkan usaha sedemikian dijalankan.
“Menerusi dana MBMF yang kita telah perolehi untuk memperluas dan memperbaiki masjid-masjid kita bukan hanya masjid-masjid yang baru tapi juga masjid-masjid yang lama seperti Masjid Sallim Mattar ini.
“Inilah usaha yang akan kita teruskan bagi memastikan tempat-tempat ibadah kita terus diperbaiki dengan prasarana-prasarana yang kita inginkan untuk generasi muda dan juga dewasa,” ujar Dr Yaacob, yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan.
JEMAAH ‘SAKIT KAKI’, KINI BOLEH KE TINGKAT 3
Seorang jemaah, Cik Norlia Khamis, 76 tahun, berkata tambahan kemudahan seperti lif banyak membantu memudahkan pergerakannya ke ruang solat wanita di tingkat tiga.
“Sebelum ini saya tidak boleh ke atas kerana kaki saya sakit. Sekarang sudah ada lif, saya suka naik ke atas, banyak perubahannya”
Masjid Sallim Mattar merupakan di kalangan 16 masjid yang dipilih untuk menjalani kerja-kerja peningkatan di bawah Fasa Kedua Program Peningkatan Masjid (MUP)
Kos peningkatannya melibatkan belanja lebih $927,000. Sebanyak $200,000 daripada jumlah itu dibiayai oleh MBMF.
Source: Berita MediaCorp