Video ‘Viral’ Wanita Rebah Semasa Terawih Meninggal Dunia Di Masjid Darul Aman, Tidak Benar

Lewat malam semalam, sebuah video menjadi ‘viral’ secara online di media sosial dan juga tersebar menerusi aplikasi Whatsapp, menunjukkan seorang wanita rebah dan meninggal dunia semasa bersolat di Masjid Darul Aman, di Singapura.

Masjid Darul Aman menjelaskan kepada BERITAMediacorp bahawa perkara itu tidak benar.

Pengurus Masjid Darul Aman Jamaludin Abdul Wahid berkata: “Apa yang tersebar perihal kejadian di Masjid Darul Aman adalah tidak benar. Saya juga dapat video itu. Apabila kita tengok video secara terperinci, saya dapati permaidani masjid atau ruang solat di dalam video itu tidak sama seperti permaidani Masjid Darul Aman.”

“Saya juga berterawih di masjid Darul Aman pada hari dan waktu yang disebut sehingga selesai, jadi jika ia berlaku pada waktu terawih saya pasti akan bergegas untuk menguruskannya,” jelas Encik Jamaludin lagi memberitahu BERITAMediacorp.

Perkembangan menyebarkan kejadian yang tidak benar tanpa usul periksa itu memprihatinkan pihak Masjid Darul Aman.

“Setiap berita, khusus yg berunsur musibah harus diselidiki kesahihannya. Bertanya langsung kepada pegawai adalah yang terbaik. Menyebarkan berita atau maklumat yang tidak benar lagi-lagi di Bulan Ramadan akan hanya mendatangkan kekecohan dan berdosa. Kami juga mahu menjaga keharmonian dan kemaslahatan para jemaah kami,” ujar Encik Jamaludin.

WANITA BERKENAAN TIDAK MENINGGAL DUNIA

Sementara itu, hari ini (10 Jun) laporan laman Harian Metro yang ditukil oleh laman Facebook ‘Daily Traffic Report’, menjelaskan asal usul dan duduk perkara sebenar.

Menurut kenyataan itu, rakaman sepanjang 51 saat dengan catatan yang berbunyi “Jatuh semasa solat terawih di Masjid Jamek PD..Innalillah” dan juga “Wanita meninggal ketika solat terawih”, adalah tidak benar.

#DTrNEGERISEMBILAN Port Dickson: Rakaman video yang tersebar di laman sosial menunjukkan seorang wanita rebah ketika menunaikan solat sunat Tarawih di masjid di Port Dickson, hanya pitam bukan meninggal dunia seperti didakwa. Rakaman berdurasi 51 saat yang memaparkan wanita itu rebah secara tiba-tiba dan dibantu jemaah lain tersebar malam tadi dengan memuat komen ‘jatuh semasa solat terawih di Majid Jamek PD… Innalillah’ dan ‘wanita meninggal ketika solat terawih’. Eksekutif Masjid Jamek Abdullah Sijang, Muhammad Abu Dhiral Burhanuddin berkata, dia terkejut apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu menjadi viral dengan maklumat yang salah. Menurutnya, dalam kejadian 9.40 malam kelmarin, wanita berusia 30-an terbabit yang solat di dalam saf wanita rebah secara tiba-tiba sebelum dibantu beberapa jemaah wanita lain. “Wanita itu pitam dan berehat sebentar selepas rebah. Dia kemudian menyambung solat sunat Tarawih seperti biasa. Jemaah lelaki yang berada di hadapan tidak menyedari kejadian kerana tiada kekecohan berlaku. “Kita kesal rakaman CCTV itu tersebar dengan maklumat yang tidak tepat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Posted by DAily TRaffic REport on Thursday, 9 June 2016

Eksekutif masjid tersebut berkata rakaman CCTV itu menjadi ‘viral’ dengan maklumat yang salah, lapor Harian Metro.

Beliau juga menambah bahawa wanita itu sebenarnya pitam dan berehat sebentar setelah rebah, malah beliau meneruskan solat terawih seperti biasa.

Pendeknya, penyebaran video tersebut secara salah berlaku di Malaysia, dan apabila disebarkan di Singapura, ia melalui satu lagi pembohongan dan dikatakan ia berlaku di Singapura.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *