KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Malaysia, Datuk Abdul Aziz Singah, meninggal dunia akibat barah prostat pada usia 75 tahun.
Allahyarham, bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), pulang ke rahmatullah pada 11.30 malam semalam (1 Julai), menurut media-media Malaysia. Ia disahkan oleh anak keduanya, Ruzaimei Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Bob Singah di laman Facebook.
Assalamualaikum semua… Dimaklumkan ayah saya DS Hj Abd Aziz Bin Singah telahpun kembali ke rahmatullah sbntr tadi. Semoga roh Allahyarham tenang dan di tempatkan dikalangan orang2 yang beriman..
Posted by Ruzaimei Aziz on Friday, 1 July 2016
Isteri Allahyarham, Datin Zunite Mohamed memberitahu Harian Metro bahawa Allahyarham dirawat di Institut Kanser Negara, Putrajaya sejak Mei lalu.
Katanya, Allahyarham baru dibawa pulang ke rumah sekitar 9.00 malam semalam, namun meninggal dunia sekitar dua jam kemudian.
Menurut Harian Metro, Allahyarham disahkan menghidapi barah prostat sejak lima tahun lalu dan pernah menjalani sesi radioterapi sebanyak 38 kali tahun lalu.
Datin Zunite berkata Allahyarham sebelum ini meminta keluarganya membawanya pulang ke rumah, dan akhirnya, hospital mengizinkannya pulang malam semalam kerana keadaannya semakin tenat.
Menurutnya lagi kepada Harian Metro, Allahyarham meminta untuk dikebumikan di kampung halamannya di Negeri Sembilan – keluarga Allahyarham yang sudah meninggal dunia dikebumikan di situ.
Allahyarham terkenal dengan drama dan filem seperti PJ Holding, Sembilu Kasih, Sate dan Maria Mariana, Impian dan Kemarau Cinta.
Allahyarham Datuk Abdul Aziz Singah akan dikebumikan sebelum solat Zohor hari ini di Tanah Perkuburan Kampung Bongek, Rembau, Negeri Sembilan, menurut laporan Astro Awani.
Source; http://berita.mediacorp.sg