Buat pertama kalinya dalam 81 tahun, seorang muazzin melaungkan azan di dalam Hagia Sophia, antara monumen paling ikonik di Istanbul.
Azan dilaungkan dari dalam muzium itu kelmarin (2 Julai), menurut laman Russia Today (RT).
Menurut RT, sejak empat tahun lepas, azan berkumandang dari menara-menara muzium itu, namun muazzin melaungkannya dari sebuah bilik solat, bukan dari dalam Hagia Sophia sendiri.
Bulan lalu, Turki membenarkan Al-Quran dibacakan di dalam Hagia Sophia sepanjang bulan Ramadan tahun ini. Setiap hari, saluran televisyen Turki, Diyanet TV menyiarkan ulama-ulama Turki membaca Al-Quran di dalam muzium itu pada waktu sahur, lapor agensi berita AFP.
Langkah itu bagaimanapun dibantah Greece – parti pembangkang di negara itu, New Democracy, menyifatkannya sebagai “provokatif dan tidak munasabah”.
“Langkah pihak berkuasa Turki menjadualkan tilawah Al-Quran di Hagia Sophia pada bulan depan (Ramadan) merubahnya kepada sebuah masjid buat pertama kali dalam 80 tahun.
“Ia satu tindakan provokatif dan tidak munasabah, dan menunjukkan sikap tidak menghormati para penganut Kristian Ortodoks di serata dunia,” kata penyelaras Ehwal Luar dan Pertahanan parti itu, Dora Bakoyannis dan ketua sektor Ehwal Luar, Ioannis Kefalogiannis dalam kenyataan bersama ketika itu.
Hagia Sophia, yang bermaksud ‘Hikmah Suci’ dalam bahasa Greek, dibina sebagai sebuah gereja Byzantine pada abad ke-6 sebelum ditukar menjadi masjid pada 1453 apabila tentera Ottoman menakluki Istanbul, yang ketika itu dikenali sebagai Constantinople.
Selepas kejatuhan Empayar Ottoman dan setelah Turki dibangunkan sebagai negara moden sekular, masjid tersebut ditukar menjadi sebuah muzium pada 1935.
Pada Mei lalu, ribuan jemaah berhimpun di Hagia Sophia untuk menuntut hak mereka untuk menunaikan solat di sana.
Source: Berita MediaCorp