Mohd Khair: Masyarakat Islam Harus Banteras Usaha Melemahkan Masyarakat

Apakah kita harus berasa malu yang teramat sangat setiap kali ada jenayah yang dilapurkan sebagai dilakukan oleh orang Melayu atau orang Islam?

Apakah Nabi Muhammad saw berasa teramat malu apabila pakciknya sendiri dan kaum kerabat yang lain tidak memeluk agama Islam, malah ada yang menentangnya dengan begitu keras sekali?

Apakah Nabi Nuh as berasa teramat malu apabila kaum keluarganya sendiri tidak mahu beriman kepada ALlah swt?

Apakah Nabi Lut as berasa teramat malu apabila isterinya sendiri yang mengkhianati dakwahnya?

Apakah penganut Buddha berasa teramat malu apabila para Sami di Myanmar membakar madrasah dan masjid serta membunuh ramai orang Islam di sana?

Apakah penganut Kristian berasa malu apabila pemerintah mereka membunuh ribuan ummat Islam saban tahun di merata tempat di bumi Ambiyaa?

Pokoknya, kita tidak seharusnya berasa teramat malu dengan tindakan orang-orang yang melakukan kekejaman atas nama Islam. Sesiapapun boleh melakukan onar dengan menggunakan nama Islam kerana memang mahu mencemarkan nama Islam.

Kita harus lebih bijak untuk tangani lemparan-lemparan najis yang datang dari pelbagai arah dan rupa bentuk terhadap Islam dan Ummahnya.

Tiada apa yang kita harus terasa malu sekiranya kita yakin bahwa agama Islam adalah agama yang sempurna dengan nilai-nilai yang membangun lagi membawa kedamaian untuk setiap insan, tidak kira warna kulit mahupun kepercayaan.

Apa yang seharusnya kita lakukan adalah untuk bangkit dengan lantang menolak segala tindakan dan tohmahan itu sebagai ANTI-ISLAM dan ANTI-MUSLIM.

Dengan tegas kita juga harus katakan yang tindakan dan tohmahan itu adalah najis-najis orang lain yang sengaja dilemparkan kepada dunia demi merosakkan, merapuhkan, melemahkan, menjatuhkan dan membinasakan Islam dari luar dan dalam.

Seharusnya kita usah berasa teramat malu tetapi sebaliknya berdiri dengan tegas untuk menolak segala tindakan dan tohmahan itu sebagai ANTI-ISLAM dan ANTI-MUSLIM, serta melihat itu semua sebagai strategi pihak-pihak tertentu untuk melemahkan kita sebagai Ummah Nabi Muhammad saw.

Bahkan kita seharusnya terus menyebarkan dakwah dengan kemurnian dan kesucian Islam kepada seisi alam.

Buang jauh-jauh sikap apologetik yang menjadikan kita lebih lemah kerana berasa malu yang tidak bertempat.

(Nota: Kita dapat lihat sendiri betapa semakin banyak tohmahan yang dilemparkan kepada Islam dan Muslim, semakin berbondong-bondong orang masuk Islam, alhamdulillah. Itulah sebabnya juga kuta tidak seharusnya berasa bersalah atau malu dengan tindakan orang lain yang bertujuan mencemarkan nama Islam dan Muslim.)

 

Source: Mohd Khair

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *