Anak pemimpin al Qaeda, iaitu Osama bin Laden mengancam untuk membalas dendam terhadap Amerika Syarikat (AS) atas pembunuhan bapanya.
Demikian menurut satu rakaman audio yang dimuat naik online.
Hamza bin Laden berjanji menerusi ucapan sepanjang 21 minit yang bertajuk “Kami Semua adalah Osama”, bahawa dia akan meneruskan perjuangan kumpulan militan tersebut terhadap AS dan sekutunya, menurut kumpulan risikan SITE.
“Kami akan terus menyerang dan menyasarkan kamu di negara kamu dan di luar negara sebagai respons terhadap penindasan yang kamu lakukan ke atas rakyat Palestin, Afghanistan, Syria, Iraq, Yaman, Somalia dan tempat-tempat Muslim yang lain yang tidak bertahan di bawah penindasan kamu,” tegas Hamza.
“Ini bukan balas dendam untuk Osama tetapi ini adalah balas dendam bagi pihak mereka yang mempertahankan Islam.”
Osama bin Laden terbunuh semasa berada di tempat persembunyiannya di Pakistan oleh para komando AS pada tahun 2011 dalam satu serbuan besar-besaran terhadap kumpulan militan yang melancarkan serangan pada 11 September 2011.
Dokumen-dokumen yang dijumpai di tempat tersebut dan diterbitkan oleh AS pada tahun lalu mendakwa sekutunya cuba menyatukan semula pemimpin kumpulan itu dengan Hamza, yang ditahan dalam rumah oleh Iran.
Hamza, yang kini berusia 20an tahun, berada di samping bapanya di Afghanistan sebelum serangan 9/11 dan meluangkan masa bersamanya di Pakistan setelah pencerobohan AS menyebabkan kebanyakan pemimpin kanan al-Qaeda ke sana, menurut Institut Brookings.
Diperkenalkan oleh ketua baru kumpulan tersebut, iaitu Ayman al-Zawahiri dalam satu mesej audio pada tahun lalu, Hamza adalah suara orang muda bagi kumpulan itu di mana para pemimpinnya semakin menua, bersungguh-sungguh mahu memberi inspirasi kepada para anggota militan di seluruh dunia yang sekarang ini mendapat motivasi daripada ISIS.
“Hamza muka baru bagi al Qaeda, seseorang yang ada kaitan secara langsung dengan pengasas kumpulan itu. Dia musuh yang bijak bertutur kata dan berbahaya,” menurut Bruce Riedel dari Brookings.
Source: Berita MediaCorp