Hampir seminggu selepas mendiamkan diri mengenai berita perkahwinan kedua dengan janda anak satu terbongkar, pelakon Adi Putra muncul juga akhirnya untuk menjelaskan apa dilakukannya itu bukan satu dosa, menurut laporan mstar.
Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim yang berusia 35 tahun berkata beliau akan memberi penjelasan mengenai cerita berkenaan dalam masa terdekat, tambah laporan mstar.
“Kepada semua sahabat rakan media, saya akan maklumkan untuk sidang media untuk perkongsian dan bukan penjelasan sebab apa yang berlaku bukan satu dosa. Terima Kasih,” kata beliau dalam akaun Instagramnya hari ini (22 Julai).
Laporan mstar juga menyatakan Adi Putera meminta agar pihak yang mendedahkan berita pernikahannya itu tidak masuk campur dalam urusan rumah tangga beliau dan akan mengambil tindakan.
Gambar pernikahan beliau tersebar di internet sejak Sabtu (16 Julai).
Adi Putera tidak menjawab sebarang panggilan telefon ketika dihubungi pelbagai pihak media tetapi memuat naik gambar bersama isteri pertama beliau Aida Yusof berusia 41 tahun yang dipercayai diambil di luar negara.
Menurut mstar, rumah tangga mereka pernah berdepan dengan masalah apabila Adi memfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur terhadap Aida pada 11 Mei 2012 namun kemudiannya membatalkan hasrat itu.
Source: Berita MediaCorp