PERANCIS: Para pemimpin pelbagai agama di Perancis mengutuk serangan yang dilakukan ke atas sebuah gereja dan membunuh seorang paderi.
Mereka yang termasuk pemimpin Islam, Kristian dan Yahudi juga menggesa diwujudkan perpaduan untuk memerangi ISIS.
Paderi Jacques Hamel, 85 tahun, dipaksa melutut sebelum dua penyerang bagi pihak ISIS, mengelar leher paderi tersebut.
Mereka turut menahan beberapa orang di gereja yang terletak di bandar Rouen itu, sebelum polis menembak mati penyerang-penyerang tersebut.
Pemimpin masjid Paris, Encik Dalil Boubakeur berkata, “Ini adalah perbuatan di luar ajaran Islam, dan satu perbuatan yang semua muslim Perancis kutuk dan tolak”.
Presiden Perancis Francois Hollande, dalam ulasannya berikrar negaranya akan menang dalam perang menentang kumpulan pelampau.
Beliau berkata negaranya dan Eropah menghadapi ancaman paling serius dari kumpulan militan sekarang.
Beliau menggesa rakyat bersatu dan tidak berpaling terhadap satu sama lain.
Tiga orang tebusan terselamat dalam srangan tersebut.
Salah seorang anggota ISIS terbabit dikenal pasti sebagai Adel Kermiche, 19 tahun yang pernah didakwa ada kaitan dengan pengganasan.
Dia dibebaskan dan dipasang gelang elektronik yang sepatutnya memantau pergerakannya.
Kermiche pernah dua kali cuba ke Syria tahun lalu.
Seorang lagi lelaki belum dikenal pasti.
Drama tebusan itu berlaku kurang dua minggu selepas tragedi rempuhan trak di Nice yang turut didakwa dilakukan ISIS.
Source: http://berita.mediacorp.sg