KUALA LUMPUR: Selepas dikritik kerana mengaku keempat-empat anaknya tidak pernah diberikan suntikan vaksin, penyanyi nasyid Malaysia, Suhaimi Saad, sekali lagi dipersoalkan ramai.
Bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team itu akur tidak menghantar kesemua anaknya itu ke sekolah, kerana tidak melihat manfaat dalam format peperiksaan di Malaysia, lapor Malay Mail Online.
Sebaliknya, Suhaimi, 36 tahun, dan isterinya, Nordiana Mohd Naim, 32 tahun, mendidik anak-anak mereka sendiri di rumah menggunakan konsep “home schooling.”
“Sekarang ini saya fokuskan kepada akhlak dan bahasa serta Al-Quran,” kata Suhaimi seperti ditukil Malay Mail. Beliau menjelaskan turut menitik beratkan ilmu sains dan kemahiran hidup dalam pembelajaran.
SUHAIMI: ANAK TAK PERLU AMBIL SPM JIKA SUDAH CAPAI IMPIAN KELAK
Menjelaskan lanjut, Suhaimi berkata anak-anaknya tidak perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diambil di Tingkatan 5 sekiranya mereka sudah mencapai impian masing-masing kelak.
“Sijil Pelajaran Malaysia pun mungkin kita akan ambil secara persendirian. Itu pun SPM ini kita tidak akan tahu bertahan sampai bila sebab sistem ini sentiasa boleh berubah.
“Cuma saya merancang yang terbaik. Saya tengok ramai yang buat belajar di rumah ini apabila usia 14 tahun ke 15 tahun dan sudah boleh sampai sasaran dia.
“Ada jadi saintis, ahli perniagaan dan sebagainya Jadi kalau dah jadi ahli muzik, sudah boleh bekerja, tidak perlulah SPM itu,” katanya kepada Malay Mail Online.
Suhaimi juga berpendapat bahawa konsep peperiksaan di peringkat rendah seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak memberikan manfaat untuk masa depan anak-anaknya.
SUHAIMI DIKECAM KERAH ANAK KUTIP DERMA
Selain itu, Suhaimi juga dikecam kerana mengerahkan anak-anaknya mengutip derma dan dituduh enggan membeli perkakas elektrik seperti mesin basuh dan peti ais untuk keluarganya.
Namun menurut Malay Mail, beliau kemudian menjelaskan anak-anaknya bukan mengemis tetapi membuat persembahan awam, atau “busking”, bagi mengumpul dana untuk sebuah pertubuhan kebajikan di Sabah iaitu SabahMai Care.
Suhaimi sebelum ini menarik perhatian ramai kerana berkata “tak suka” vaksin dan mendedahkan beliau dan anak-anaknya tidak pernah makan ubat atau ke klinik mahupun hospital.
Setiap kali anaknya jatuh sakit, mereka hanya “diubati” dengan air bacaan Al-Quran.
Source: http://berita.mediacorp.sg