Seorang anggota polis marin yang dilaporkan hilang dua hari lalu, ditemui dalam keadaan kebingungan di kawasan Sungai Rambai Melaka, semalam (18 Ogos).
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata Rahim @ Norizam Darisun, 47 tahun, dipercayai hilang ketika pulang dari Hospital Putra Batu Pahat ke Muar selepas menghantar isterinya.
“Kira-kira pukul 6.30 pagi, Rahim balik seorang diri dari hospital Putra Batu Pahat ke Muar. Namun, dia tidak ke pejabat atau pulang ke rumahnya selepas itu.
“Pasukan Polis Marin Muar mencarinya dari laluan Batu Pahat ke Muar namun gagal. Telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi,” kata beliau dalam kenyataan hari ini (19 Ogos).
Bagaimanapun, mangsa kemudiannya ditemui di dalam keretanya di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Rambai Melaka kira-kira pukul 12.10 tengah hari setelah mengesan
isyarat dari telefonnya.
“Mangsa dikatakan dalam keadaan kebingungan dan memberitahu ketika balik dari Hospital Putra Batu Pahat, beliau menumpangkan seorang wanita dan anaknya.
“Semasa turun dari kenderaan, wanita berkenaan memberi wang kepada mangsa dan semasa dijumpai, mangsa mendapati duit tersebut adalah daun,” kata Abdul Wahib.
Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan menerusi kenyataannya, dipercayai adalah kejadian mistik.
Source: Berita MediaCorp