Anak kepada jurulatih hoki Douglas Gomez yang dilaporkan dikasari oleh sultan Johor pada tahun 1992, Sultan Iskandar pada tahun 1992, menyifatkan tempoh berkenaan sebagai kebangkitan rakyat biasa yang tampil mempertahankan mendiang bapanya.
“Saya masih ingat, dalam habuk pergolakan dua gergasi, rakyat biasa yang tampil, bangkit, mencerahkan jalan,” tulis Brian dalam Facebook miliknya malam semalam.
Ia selepas cucu Sultan Iskandar, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengimbas semula sejarah hitam pada 1992 semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengingatkan kerajaan supaya tidak mengulangi apa yang berlaku atas desakan tamak haloba dan sikap gila kuasa.
Baginda berkata beliau yang berumur lapan tahun ketika itu masih ingat bagaimana keluarganya dilayan oleh pegawai-pegawai kerajaan persekutuan, termasuk bondanya yang ditahan oleh kastam sewaktu kembali ke Johor dari Singapura.
“Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab,” katanya dalam posting di Facebook , semalam.
Menurut Brian dalam tulisannya, beliau masih ingat apabila bapanya pulang dari istana dengan mata yang lebam.
“Saya masih ingat bagaimana ayah saya, seorang guru dan jurulatih pasukan hoki sekolah, dibawa ke istana. Saya masih ingat matanya yang lebam setelah pulang ke rumah.
“Saya masih ingat ceritanya tentang apa yang berlaku di istana; dan milik siapa tangan yang menyebabkan lebam itu,” katanya.
Ratusan surat
Menurutnya, berikutan insiden itu, ayahnya menjadi bahan percaturan antara “mereka yang dilantik ke kuasa dan mereka yang dilahirkan ke kuasa”.
Brian berkata ingatannya masih segar bagaimana keluarganya menerima ratusan surat sokongan daripada rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.
“Paling ketara ialah peti surat rumah saya, yang menerima ratusan surat dari semua lapisan rakyat Malaysia; dari orang yang kami tak kenal pun; yang merakamkan sokongan kepada ayah saya.
“Saya masih ingat drebar-drebar teksi sekitar JB, yang untuk bertahun, enggan menerima apa-apa bayaran tambang dari ayah saya,” katanya.
Menurutnya, ketika itu beliau menyedari bahawa kuasa sebenar bukan milik pihak berkuasa tetapi wujud dalam naluri manusia yang dapat membezakan antara betul dan salah.
“Ia (kuasa sebenar) wujud dalam keberanian, keyakinan-diri dan hak setiap individu untuk mempersoalkan keadaan yang sedia ada.
“Kuasa sebenar milik rakyat,” kata Brian.
Lucut kekebalan
Pada tahun 1992, apabila Persekutuan Hoki Malaysia menggantung Tunku Abdul Majid, putera kedua Sultan Iskandar daripada bermain selama lima tahun kerana memukul penjaga gol pasukan hoki Perak selepas pasukan Johor ditewaskan dalam satu perlawanan, ayahandanya menjadi berang.
Sultan Iskandar kemudiannya bertindak memberi tekanan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Johor supaya mengarahkan semua pasukan hoki sekolah di negeri itu supaya memulaukan kejohanan kebangsaan.
Ini menjadikan Douglas Gomez sebegitu kecewa lalu membidas Jabatan Pendidikan Johor serta menuntut peletakan jawatan semua ahli jawatankuasa dalam Persatuan Hoki Johor.
Benggang dengan perkembangan itu, Sultan Iskandar kemudian menitahkan Gomez ke istana dan didakwa mengasarinya. Jurulatih hoki itu kemudiannya membuat laporan polis.
Berikutan itu, satu sesi khas parlimen telah diadakan pada bulan Disember 1992 yang menyaksikan usul bagi menyekat kuasa atau melucutkan kekebalan Raja-raja Melayu dibentang dan diluluskan.
Source: MalaysiaKini