Kelakuan Guru-Guru Spiritual Indonesia Yang Menyimpang

Berita penangkapan guru spiritual Indonesia, Gatot Brajamusti, atau lebih dikenali sebagai Aa Gatot, mengejutkan orang ramai di negara itu.

Aa Gatot, yang terkenal sebagai guru spiritual para artis, termasuk penyanyi Indonesia, Reza Artamevia, diberkas ketika sedang menghisap dadah jenis syabu.

Penangkapan itu berlaku tidak lama selepas berlangsungnya Kongres Persatuan Artis Filem Indonesia (Parfi), di mana Gatot dipilih sebagai ketua umum untuk kali kedua.

Ketika bilik hotel tempat dia menginap disebu polis, Gatot sedang khayal menghisap dadah.

Bukan hanya Gatot, beberapa orang yang berada di dalam bilik tersebut, termasuk Reza, ditangkap dan dibawa ke polis Nusa Tenggara Barat. Penangkapan itu menjejas teruk imejnya sebagai guru spiritual.

Kesnya membuka kembali lembaran hitam yang melibatkan guru-guru spiritual di Indonesia sebelum ini.

Perbuatan dan tingkah laku mereka bertentangan dengan status mereka sebagai guru spiritual, yang sepatutnya membimbing orang lain untuk berada di jalan yang lurus.

KES LAIN: PEMILIK PESANTREN NIKAH GADIS 12 TAHUN

Antara kelakuan menyimpang guru-guru spiritual ini ialah kes pernikahan pemilik Pondok Pesantren Miftahul Jannah dengan pelajar perempuan sekolah menengah yang baru berusia 12 tahun.

Kes tersebut menggemparkan orang ramai, bahkan Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) melaporkan perkahwinan itu kepada polis.

Setelah melalui proses undang-undang, pemilik pesantren itu, Pujiono Cahyo Widianto atau lebih dikenali sebagai Syekh Puji akhirnya disumbatkan ke dalam penjara.

‘USTAZ’ TIPU TENTANG BARANG ‘GHAIB’

Kemudian berlaku pula kes penipuan yang dipercayai melibatkan Ustaz Guntur Bumi, yang terkenal dengan rancangan realiti ‘Pemburu Hantu’ dan mempunyai klinik perubatan alternatif.

Pada 2014, dia dikatakan menaikkan namanya dengan menunjukkan barang-barang ‘ghaib’ yang diambil daripada tubuh para pesakitnya, namun barang berupa belatung, ulat dan sebagainya itu sebenarnya sudah disediakannya sebelum itu.

Pelakon Adi Bing Slamet pula melaporkan guru spiritualnya kerana dianggap menyampaikan ajaran sesat.

Guru spiritual itu, Eyang Subur, juga sudah bernikah hingga 25 kali, bahkan mempunyai lapan isteri.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *