Lelaki Singapura Antara 3 Maut Dalam Kemalangan Motosikal Di Johor

Seorang lelaki warga Singapura antara tiga yang terkorban dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di Kilometer 45, Jalan Batu Pahat Mersing di Kluang, tengah malam tadi (12 Sep).

Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Mohamed Hassan Ali, 65 tahun, yang merupakan seorang pekebun dan menantunya warga Singapura, Noraripen Surni, 48 tahun dan seorang penunggang motosikal lain iaitu Muhamad Hafiz Ghazali, 21 tahun.

Seorang lagi penunggang motosikal pula iaitu Muhammad Ekmal Yussry Md Yassin,19 tahun, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham berkata kejadian berlaku pada pukul 12.40 tengah malam apabila motosikal ditunggangi Muhamad Hafiz bertembung dengan motosikal Mohamed Hassan.

Pertembungan itu berpunca daripada tindakan Mohamed Hassan yang ingin masuk ke laluan motosikal Muhamad Hafiz selepas warga emas itu keluar dari sebuah simpang di Taman Ria.

Menurutnya pertembungan mengejut itu, menyebabkan sebuah lagi motosikal yang ditunggangi seorang lelaki dari arah Kluang ke Ayer Hitam juga gagal mengelak daripada melanggar motosikal Mohamed Hassan.

Kemalangan tersebut menyebabkan Mohamed Hassan, Noraripen dan Muhamad Hafiz mati di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Kluang untuk dibedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41( 1 )(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *