Setiap Rakyat Singapura Punyai Peranan Tolak Idea Yang Jejaskan Integrasi Kaum, Agama

Setiap rakyat Singapura mempunyai peranan untuk menolak idea-idea yang menjejas integrasi kaum dan agama di negara ini.

Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim berkata demikian selepas solat Hari Raya Haji di Masjid En- Naeem di Tampines pagi tadi (12 Sep).

Dr Yaacob menekankan segala usaha yang dilakukan selama 50 tahun untuk memupuk integrasi di Singapura adalah satu proses penting, yang harus dijaga dengan baik.

Pentingnya menghayati ajaran Islam dalam konteks masyarakat majmuk berbilang kaum, budaya dan agama di Singapura juga menjadi teras khutbah solat Aidiladha yang disampaikan di masjid-masjid seluruh negara.

Khutbah solat Aidiladha bertajuk “Ilmu Agama Sebagai Pembimbing Jalan” disampaikan kepada sekitar 3,500 jemaah oleh Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram di Masjid En-Naeem.

PEMAHAMAN AGAMA DARI ASATIZAH DIIKTIRAF PENTING

Mufti menekankan pelbagai aliran pandangan wujud di luar dan di dalam agama Islam sendiri yang berpotensi memecah belahkan masyarakat.

Maka itu, pemahaman agama yang benar, yang diperolehi daripada asatizah yang terlatih dan diiktiraf penting bagi memastikan masyarakat menerima ajaran daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

“Atas dasar itulah, maka ulama dan guru-guru agama mapan di negara kita bersama Muis dan Pergas telah menubuhkan Sistem Pengiktirafan Asatizah atau ARS lebih daripada sepuluh tahun yang lalu. Ia bertujuan memastikan masyarakat yang ingin mendapatkan khidmat bimbingan agama untuk dapat mengenal pasti asatizah yang terlatih dan mempunyai kemahiran yang diperlukan. Diharapkan dengan sistem pengiktirafan, ARS, kewibawaan institusi pendidikan Islam di Singapura akan terpelihara daripada individu yang tidak bertanggungjawab dan ingin menyampaikan pandangan agama yang bermasalah ataupun mungkin sesat,” menurut Ustaz Dr Fatris.

Tambah Mufti dengan pembelajaran menerusi internet begitu berleluasa sekarang, semakin penting bagi ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka tidak terpesong atau terpengaruh oleh fahaman-fahaman atau ideologi songsang.

TOLAK PANDANGAN EKSKLUSIF

Sejajar dengan itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim menggesa rakyat agar menolak pandangan eksklusif dan sebaliknya merenung tentang integrasi agama dan kaum di Singapura.

“Apa yang kita lakukan selama 50 tahun untuk kita berintegrasikan dengan masyarakat yang lain adalah satu proses yang penting yang harus dijaga dengan baik. Dan, mesej ini bukan saja tanggungjawab pihak Mufti atau pihak MUIS tetapi ini adalah tanggungjawab masyarakat kita. Setiap individu, setiap pemimpin ada peranan,” Dr Yaacob memberitahu BERITAMediacorp.

“Saya rasa ini adalah satu mesej yang tepat pada masanya bagi kita untuk mengukuhkan apa yang kita telah capai selama 50 tahun dan terus bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu untuk memperkuatkan lagi keharmonian kaum yang kita ada di Singapura,” tambah beliau.

“Kita harus menguatkan silaturrahim antara kita sebagai orang Islam dengan mereka yang dikatakan bukan Muslim. Dengan itu kita dapat menunjukkan bahawa bagusnya kesejahteraan Singapura ini. Dan, para belia kita dapat mencontohi dengan sebaik-baiknya,” salah seorang jemaah yang bersolat di Masjid En-Naeem, Erwin Shah Effandy, memberitahu BERITAMediacorp.

“Sebagai seorang bapa adalah penting untuk saya mendidik anak-anak ataupun sebenarnya menghantar anak saya ke asatizah yang dapat mengajar pendidikan agama yang menyeluruh,” kata seorang lagi jemaah, Suryadi Mohd Bajuri.

Masjid En-Naeem antara 13 pusat korban yang melakukan ibadah korban kambing Australia.

Upacara korban dijayakan dengan sumbangan tenaga lebih 100 sukarelawan.

ANGKA KEMATIAN KAMBING TERLALU TINGGI

Mengulas kematian 121 kambing Ireland tahun ini, Dr Yaacob berkata siasatan sedang dijalankan untuk menyediakan laporan penuh kejadian itu secepat mungkin

“Saya rasa ini kadangkala tidak boleh dielakkan tetapi angkanya terlalu tinggi bagi kita, tetapi kita akan menyelidik untuk mendapatkan apa yang telah berlaku. Tetapi yang lebih penting ialah adakah kita boleh menjalankan ibadah korban. Tetapi, Alhamdullilah, dengan kerjasama JKMS dan MUIS dan sebagainya, kita berjaya pada hari ini, pada pagi ini, untuk kita menjalankan korban, di seluruh Singapura. Dan di sini, saya berterima kasih kepada masyarakat kita kerana kepercayaan dan kesabaran mereka,” jelas Dr Yaacob.

Bungkusan-bungkusan daging korban juga diagihkan kepada 10 keluarga daripada golongan kurang berkemampuan.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *