Tak Mahu Membayar Untuk Bagasi Berlebihan, Jemaah Indonesia “Hamil” Pakaian

INDONESIA: Gara-gara mahu membawa banyak barangan pulang ke tanah air namun mahu mengelak daripada bagasi ditimbang dengan berat yang berlebihan, sepasang suami isteri jemaah haji Indonesia ini nekad menyembunyikan kain baju di bahagian perut.

Cik Fitri dan suaminya, mengikat kain baju tersebut di bahagian perut dan kemudian mereka memakai pakaian yang longgar semata-mata untuk mengelak daripada bagasi mereka ditimbang dengan berat yang berlebihan.

Hasilnya, pasangan itu kelihatan seperti orang yang hamil.

MAHU BAWA SEMUA YANG DIBELI PULANG KE TANAH AIR

Apabila ditanya, Cik Fitri hanya tersipu malu sambil berkata: “Ini bukan hamil, tetapi isinya baju.”

Cik Fitri yang enggan gambarnya dipetik menambah, beliau sengaja mengubah-suai supaya barang-barang yang dibeli semuanya boleh dibawa pulang ke Indonesia.

“Saya cuba sahaja dan diberitahu oleh teman-teman,” tambah beliau.

Yang lucunya, perut suami Cik Fitri, yang agak pendiam, juga kelihatan seperti orang hamil namun beliau seperti acuh tidak acuh meskipun menjadi perhatian ramai.

Agak kelam-kabut juga apabila Cik Fitri hendak ke tandas dalam keadaan “hamil”.

PERUT KEMBALI KEMPIS

Namun begitu, Cik Fitri sempat bergurau sambil memperlihatkan bahagian perut beliau yang sudah kembali kempis kerana kain baju yang disembunyikan itu sudah dilepaskan.

“Ini, saya sudah tidak hamil lagi,” gurau Cik Fitri sambil bergegas ke tandas.

Jemaah haji Indonesia sebenarnya diberikan dua bagasi tangan untuk mengisi barangan peribadi serta yang dibeli.

Satu bagasi boleh diisikan dengan barangan seberat 32 kilogram, manakala beg yang lebih kecil pula boleh diisi maksimum tujuh kilogram.

Sekiranya Cik Fitri serta suami mengisi bagasi-bagasi tersebut sehingga berat maksimun, bermakna mereka membawa pulang barangan seberat 78 kilogram, mencukupi untuk membawa oleh-oleh buat keluarga di rumah.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *