Penerima Anugerah Pedang Merit Beri Kejutan Buat Ibu-Bapa

APABILA ibu bapa beliau terbaca namanya tertera dalam senarai penerima anugerah Pedang Merit semasa Perbarisan Pentauliahan bagi pegawai Sekolah Kadet Pegawai (OCS) baru-baru ini, mereka tertanya-tanya apakah betul nama tersebut nama anak mereka.

Ini kerana Pegawai Kadet (OCT) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) Muhammad Hidayatullah Abdul Majid, 21 tahun, itu langsung tidak memberitahu keluarganya bahawa beliau merupakan antara 10 peratus kadet terbaik yang terpilih menerima anugerah khas tersebut.

“Saya ingin berikan kejutan istimewa kepada mereka dalam majlis itu,” kata Encik Hidayatullah.

Menurutnya, walaupun ibu bapanya terkejut, mereka gembira dan bersyukur dengan pencapaiannya itu.

Pengiktirafan Pedang Merit diberikan kepada 10 peratus kadet terbaik yang terpilih pada akhir Kursus Pegawai Kadet (OCC), berdasarkan prestasi cemerlang dalam semua aspek, termasuk fizikal, akademik, perancangan dan perlaksanaan, kepimpinan dan lain-lain.

Encik Hidayatullah berkata anugerah tersebut adalah hadiah kerja keras dan latihan yang dilaluinya dalam OCS selama sekitar sembilan bulan.

Tambahnya, beliau sama sekali tidak menjangka akan terpilih kerana ramai kadet lain telah memperlihatkan kecekapan mereka.

“Saya bersyukur dan anugerah ini membawa maksud bahawa saya mampu menjadi seorang pemimpin yang berkebolehan dan mampu memikul tanggungjawab lebih berat,” katanya.

Semasa dihubungi ketika majlis Perbarisan Pentauliahan OCS Sabtu lalu, Encik Hidayatullah, yang telah dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Muda (2LT), berkata perasaannya bercampurcampur – antara gembira dengan gementar kerana perlu melaksanakan tugas baru.

“Saya berasa teruja diberi peranan kepimpinan, tetapi pada masa yang sama saya juga berasa gementar kerana ini bermakna saya harus memikul tanggungjawab lebih berat,” ujar beliau yang telah diberi peranan memimpin formasi Kawalan SAF (Guards formation).

Encik Hidayatullah selanjutnya berkata beliau mendapat inspirasi dan dorongan daripada pegawai-pegawai kanan yang ditemuinya semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS) yang telah memberikan kata-kata perangsang dan tunjuk ajar.

Menyentuh tentang masa depannya, bekas pelajar Politeknik Temasek itu berkata beliau ingin menyambung pelajarannya di universiti tempatan dalam bidang sosiologi.

Encik Hidayatullah berkata dari segi kerjaya, beliau berminat menceburi bidang media atau menjadi seorang kaunselor.

“Pada pendapat saya, media merupakan wadah yang baik untuk menyebarkan kepada orang ramai peri pentingnya Pertahanan Mutlak di Singapura.

“Ini kerana setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan Singapura dan rakyatnya,” kata beliau.

Seramai 335 pegawai kadet telah diiktiraf sebagai pegawai SAF Sabtu lalu.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *