Seorang lelaki berusia 34 tahun ditemui mati oleh orang ramai bersama enam tikaman di tempat letak kereta pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam), pagi tadi (16 Okt).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata siasatan awal mendapati mangsa, Mohd Sukri Hussin ditikam oleh suspek yang juga bakal adik iparnya menggunakan pisau dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi.
SUSPEK DIDAPATI SUDAH BERKAHWIN, BERGELUT BERSAMA MANGSA
“Kita mendapat maklumat orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 11.36 pagi. Melalui siasatan awal, suspek yang berumur 29 tahun hadir ke pejabat Maidam bersama keluarganya untuk menyemak status perkahwinannya yang berasal dari Kuala Terengganu.
“Setelah disemak, suspek didapati telah berkahwin. Bagaimanapun suspek mendakwa dia masih bujang kepada keluarga mangsa dan berlakulah pertengkaran dan pergelutan antara suspek dan mangsa yang merupakan abang kepada bakal isteri suspek,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Wan Abdul Aziz berkata dalam pertengkaran itu suspek dipercayai mengeluarkan pisau sepanjang enam inci lalu menikam sebanyak enam kali terhadap mangsa, termasuk di leher dan dada kiri, sehingga membawa kematian kepada mangsa.
“Suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta dengan bantuan seorang rakannya. Suspek turut mengacu kepada pengawal keselamatan yang menjaga pagar utama pejabat Maidam dengan menggunakan pisau yang sama.
“Polis kini sedang melancarkan gerakan memburu suspek dan rakannya dengan melakukan Ops Tutup dan kita percaya suspek dan rakan subahatnya masih berada dalam negeri ini,” katanya.
“SAYA TAK NAK KACAU ORANG”
Katanya pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek dan rakan-rakannya. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu pengawal keselamatan, Mohd Suffian Yusof, 23, berkata beluau sedang menutup palang pagar utama apabila suspek tiba-tiba datang sambil mengacukan pisau dan berkata: “Saya tak nak kacau orang.
“Suspek kemudian membuka sendiri palang dan terus memecut keretanya. Saya sebelum itu tidak tahu telah berlaku kes bunuh. Saya ingatkan ada kes curi kereta,” katanya.
Source: Berita MediaCorp