Siti Nurhaliza Bakal ‘Berduet’ Dengan Whitney Houston

KUALA LUMPUR: Penyanyi pujaan ramai Malaysia, Siti Nurhaliza bakal ‘berduet’ dengan legenda pop yang juga idolanya, mendiang Whitney Houston.

Menurut akhbar Harian Metro, Siti, 37 tahun, akan menyanyikan lagu era 80-an ‘Memories’ ‘bersama’ Houston, yang meninggal dunia pada 2012, secara digital.

“Mengenai video klip lagu Memories, pihak Yonder Music memaklumkan masih terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan membabitkan hak penyiaran gambar,” katanya seperti ditukil Harian Metro.

Siti juga kini dalam perancangan untuk menghasilkan album pop baru yang dijangka dilancarkan awal tahun depan, lapor Harian Metro.

Siti berkata beliau sudah mendapat beberapa lagu termasuk dari komposer Malaysia dan Indonesia, malah penyanyi lagu-lagu Islam, Opick, juga menyatakan hasrat untuk menyumbang sebuah lagu.

Kata Siti, beliau akan memulakan proses rakaman pada bulan depan.

Sementara itu, Siti buat pertama kalinya akan muncul dalam program televisyen realiti, ‘CTDK-ation’ yang mempunyai 10 episod dan akan mendedahkan kehidupan sehariannya bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan keluarganya.

Menurut Harian Metro, program realiti itu bakal memulakan penggambaran menerusi percutian Siti bersama keluarga besar Datuk K di beberapa negara seperti Portugal, Sepanyol dan Emiriah Arab Bersatu selama 21 hari bermula 2 November ini.

Program itu akan disiarkan pada Januari tahun depan.

Siti memberitahu Harian Metro, beliau bersedia untuk mengongsi kehidupan sehariannya bersama peminat dan bersedia menerima kritikan daripada para peminat.

“Dalam program ini nanti penonton boleh melihat sisi lain saya yang tak pernah diketahui orang lain,” katanya seperti ditukil akhbar itu.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *