Perlu Bayar 5 Euro Dan Daftar Pemeriksaan Online Jika Mahu Ke Negara EU

Jutaan pelancong seperti dari Singapura yang mengunjungi Eropah perlu melalui pemeriksaan keselamatan secara online dan membayar 5 euro (S$7.60) sebelum ketibaan mereka. Ini sekiranya rancangan EU untuk mengetatkan kawalannya terhadap para pengunjung asing yang tidak memerlukan visa, diluluskan.

Sistem itu, yang disarankan oleh Suruhanjaya Eksekutif Eropah hari ini (16 Nov), akan memeriksa dokumen-dokumen pengenalan dan maklumat tempat tinggal pengunjung menerusi pelbagai pangkalan data keselamatan dan jenayah Kesatuan Eropah (EU).

Diberi nama ETIAS, sistem itu juga bertujuan menangani kebimbangan rakyat Eropah berhubung rancangan memperluas perjalanan tanpa visa ke dua negara jiran, iaitu Turki dan Ukraine. ETIAS juga akan dikenakan ke atas para pengunjung dari negara-negara bukan EU di Balkan seperti Albania dan Serbia.

SERUPA DENGAN SISTEM ESTA DI AMERIKA SYARIKAT

Serupa dengan sistem ESTA Amerika Syarikat (AS), sistem ETIAS akan menjejas rakyat dari 60 negara yang boleh mengunjungi 26 negara di Eropah yang tidak memerlukan pasport bagi perjalanan singkat tanpa perlu memohon visa terlebih dahulu, termasuk rakyat Amerika, Jepun dan bergantung kepada aturan yang ditetapkan London untuk keluar dari EU – mungkin rakyat Britain juga.

Sistem ESTA Amerika, yang sah selama dua tahun, berharga AS$14 (S$20) manakala sistem yang serupa di Kanada, eTA, yang sah selama lima tahun berharga AS$5.21 (S$7.40).

Menyusuli serangan ISIS ke atas Perancis dan Belgium dan kekecohan berkaitan ketibaan ratusan pendatang dan pelarian di Greece, eksekutif itu berharap pemeriksaan sedemikian akan menutup kelemahan-kelemahan di sempadan terhadap anggota militan, penjenayah dan pendatang-pendatang haram pada masa akan datang.

“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan sempadan dan rakyat kami. ETIAS akan menutupi jurang maklumat menerusi silang pemeriksaan maklumat para pengunjung yang tidak menggunakan visa dengan semua sistem-sistem yang lain,” kata Timbalan Ketua Suruhanjaya, Naib Presiden Pertama Frans Timmermans.

“Dalam pada itu, ETIAS lebih mudah, cepat, murah dan berkesan,” tambah beliau lagi.

TUNGGU LAMPU HIJAU PARLIMEN EROPAH

Skim tersebut kini memerlukan kelulusan daripada pemerintah dan Parlimen Eropah.

Ia adalah sistem yang diharapkan dapat dibiayai sendiri menerusi yuran permohonan.

Suruhanjaya itu menganggarkan kos penubuhannya adalah sekitar 200 juta euro manakala kos penyenggaraannya 85 juta euro.

Tujuannya adalah untuk memberikan kebanyakan pengunjung, dalam masa beberapa minit online, pelepasan bagi seberapa banyak perjalanan sepanjang tempoh lima tahun.

Sekalipun begitu ia boleh dibatalkan pada bila-bila masa jika terdapat sebarang keprihatinan.

Mereka yang menolak sistem tersebut boleh membuat rayuan.

Para pegawai EU berharap ia dapat dilaksanakan setelah diluluskan menjelang awal dekad seterusnya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *