Pelawak Fakkah Fuzz Kini Antara 20 ‘Orang Paling Kelakar Di Dunia’

Pelawak spontan Singapura, Fakkah Fuzz, kini di kalangan 20 ‘Orang Paling Kelakar di Dunia’.

Ini setelah beliau menjadi salah seorang daripada 20 peserta yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir pertandingan tersebut, yang akan berlangsung dari 4 Disember hingga 10 Disember ini, di Finland.

Di peringkat saringan, pertandingan anjuran kelab komedi popular Laugh Factory di Hollywood itu, sebenarnya disertai oleh 89 peserta dari 56 negara.

Jadi ini bermakna, Fakkah Fuzz berjaya mengalahkan sekitar 70 pelawak lain dari serata dunia, sejauh ini. Antara pelawak lain yang turut tersenarai dalam 20 peserta separuh akhir ialah Harith Iskander dari Malaysia dan Melanie Maras dari Indonesia.

FUZZ: “TAK AKAN SIA-SIAKAN PELUANG INI”

Dalam persiapannya menjelang peringkat separuh akhir itu, Fakkah Fuzz memberitahu BERITAMediacorp: “Pengalaman menjejakkan kaki ke sana seperti luar dari alam nyata. Masih sukar untuk saya percaya.

“Walaupun saya bimbang akan cuaca sejuk dan penerbangan selama 18 jam, saya berasa sangat teruja untuk bertanding dan tak akan sia-siakan peluang ini.”

Malah, Fakkah Fuzz atau nama sebenarnya Muhammad Fadzri Abdul Rashid, kini menumpukan mindanya pada bahan yang ingin disampaikan nanti.

“Komedi adalah subjektif tetapi saya akan memberikan persembahan yang terbaik dan tidak mahu menyesali apa-apa,” katanya lagi, yang pernah menyertai Super Spontan Upsize bersama para pelawak Malaysia.

PELUANG UNTUK DUNIA KENALI KOMEDI SINGAPURA

Fuzz turut berpendapat bahawa pertandingan ini dapat mengiktiraf bakat Singapura di persada dunia.

“Dengan kemenangan Joseph Schooling di Olimpik Rio baru-baru ini, perhatian dunia kini tertumpu kepada Singapura. Penyertaan saya dalam pertandingan ini adalah cara saya untuk sama-sama menyumbang kepada dunia komedi dan Singapura.

“Ia juga membolehkan orang ramai untuk mengenali negara, masyarakat dan identiti kami,” tambahnya.

Menurut Fuzz, orang ramai juga boleh menjangkakan jenakanya yang berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang rakyat Singapura, seorang Muslim muda dan pandangan dunia terhadap kedua-dua identiti ini.

Beliau turut memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau mahu berkongsi jenaka yang bukan sekadar menyerlahkan perbezaan antara negara, malah lebih kepada persamaan.

“Kami semua mempunyai banyak persamaan dari segi muzik dan makanan. Saya ingin mencipta penyatuan dan menunjukkan bahawa kita sebenarnya tidak jauh berbeza,” katanya lagi.

FAKKAH FUZZ LAWAN HARITH ISKANDER?

Enggan menggelar pelawak Malaysia Harith Iskander sebagai pesaing terhebat, Fuzz bagaimanapun tidak menyangkal bahawa Harith ialah seseorang yang sangat memberi inspirasi kepada dirinya.

“Saya sangat menghormati dirinya sehingga ada masanya saya berasa seperti saya tidak setara dengan dirinya sebagai seorang pelawak veteran.

“Walau demikian, saya tidak sabar untuk berkongsi cerita dengannya sepanjang perjalanan dan lebih tahu tentang cara kerjanya sehingga membuat dirinya seorang pelawak yang berjaya,” dedahnya.

Beliau turut menambah: “Saya akan berasa sangat gembira jika saya dapat melangkah ke peringkat akhir. Tetapi jika tidak, sekurang-kurangnya saya sudah dapat membawa seni saya dan membuat persembahan di sebuah platform antarabangsa.”

Para peserta yang bertanding di peringkat separuh akhir akan membuat persembahan di hadapan panel juri di Finland.

Mereka juga akan dinilai berdasarkan jumlah undian Indi Buzz dan keputusan panel, yang merangkumi masing-masing 50 peratus.

Lima finalis bakal dipilih, di mana video mereka tersendiri juga akan dibuka bagi pusingan undian yang terakhir.

Fakkah Fuzz dijadualkan bertolak ke Finland pada malam Sabtu ini.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *