Satu kemalangan yang berlaku di Pusat Pemeriksaan Tuas meragut satu nyawa dan mencederakan dua lagi orang pagi tadi (6 Dis), menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
SCDF menyatakan ia mengerahkan sebuah ambulans ke tempat kejadian setelah menerima panggilan meminta bantuan pada 5.09 pagi.
Seorang lelaki berusia 50-an tahun disahkan mati di tempat kejadian oleh para paramedik. Seorang wanita dan lelaki, yang kedua-duanya berusia 30-an tahun, dikejarkan ke Hospital Ng Teng Fong dalam keadaan sedar, tambah SCDF.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 9.39 pagi menyatakan nahas itu melibatkan tiga penunggang motosikal Malaysia.
ICA sebelum ini menyatakan oleh kerana nahas itu berlaku semasa waktu sibuk sebelah pagi, kesesakan semakin memanjang dan para pemandu dijangka mengalami kelengahan.
Pada sekitar 7.25 pagi, ICA mengemas kini maklumat mengenai kemalangan itu dengan mendedahkan bahawa nahas tersebut menjejas lorong bas dan lori di jambatan yang menghala masuk ke Singapura. Siasatan sedang diteruskan.
Rakaman kamera trafik pada pukul 7.10 pagi menunjukkan kesesakan lalu lintas yang panjang, dengan sekurang-kurangnya tiga kenderaan polis dan sebuah khemah polis berwarna biru dipasang di tempat kejadian.
Source: Berita MediaCorp