Artis K-Pop Dipuji Kerana Peka Akan Peminat Berhijab Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Seorang artis lelaki sebuah kumpulan K-pop dipuji para netizen di Malaysia kerana dianggap cukup peka menghormati sensitiviti masyarakat Islam.

Ini setelah artis berkenaan, Jinyoung dari kumpulan GOT7, dilihat mengelak daripada bersentuhan dengan seorang peminat bertudung di sebuah acara di Kuala Lumpur.

Video selama empat saat yang tersebar luas online itu menunjukkan peminat berhijab itu, yang dilihat begitu teruja mahu bertemu dengan Jinyoung, melambai-lambai ke arahnya dan cuba sama ada memberi ‘high-five’ atau bersalaman dengan bintang idola Korea itu.

Bagaimanapun Jinyoung dilihat dengan pantas menarik tangannya agar mereka tidak bersentuhan.

Menurut Astro Gempak, video tersebut dikongsi oleh kelab peminat IGOT7 Malaysia di laman Facebook dan Twitter sejak 5 Disember lalu.

 

PEMINAT MALAYSIA BANGGA

Ramai netizen yang kagum atas kepekaan Jinyoung hingga hashtag #jinyoung menjadi ‘trending’ selama dua hari berturut-turut di Twitter, lapor Astro Gempak.

Seorang pengguna Twitter, @HeyCarl97, menulis: “Jinyoung trending kerana kelakuannya yang menghormati peminat Muslim. Saya bangga dengannya.”

Video itu dirakamkan ketika sesi bertemu peminat digelar “Hello Session.”

GOT7 berada di Malaysia untuk konsert jelajah GOT7 Flight Log Turbulence 2016 yang diadakan pada 4 Disember lalu.

PERNAH PAKAI SARUNG TANGAN UNTUK BERSALAMAN

Ini bukan kali pertama kumpulan GOT7 menarik perhatian atas atas apa yang dianggap adalah sikap mereka menghormati masyarakat Islam di Malaysia.

Menurut Astro Gempak, kumpulan idola itu pernah memakai sarung tangan untuk bersalaman semasa sesi bertemu peminat di Malaysia pada Mac lalu untuk menghormati peminat Islam.

Tahun lalu, kontroversi tercetus apabila sebuah video yang tersebar luas online menunjukkan beberapa gadis bertudung di Malaysia berpelukan dengan artis-artis lelaki kumpulan K-pop B1A4.

Dalam video itu, artis-artis tersebut dilihat menyanyikan lagu kepada gadis-gadis bertudung tersebut di atas pentas dan memeluk mereka di sebuah konsert di Kuala Lumpur.

Bahkan seorang artis lelaki mencium dahi salah seorang daripada mereka.

Insiden itu dilaporkan menyebabkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memberikan gadis-gadis itu tempoh selama seminggu untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa atau diberkas.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *