Pelakon Nadiah M. Din Sanding Hari Ini, Jumlah Kos Lebih $100,000

Personaliti setempat Nadiah M. Din dan suaminya Bilal Jeanpierre bersanding hari ini (10 Dis) dalam majlis besar-besaran yang dihadiri oleh sekitar 2,300 jemputan.

Majlis persandingan itu turut dibahagikan kepada dua sesi iaitu jamuan sarapan tengah hari dan jamuan makan malam.

Menurut perancang perkahwinan, Cik Lulu Mustika, jamuan sarapan tengah hari bakal dihadiri oleh golongan VIP dan selebriti. Satu acara resepsi turut diadakan dari 10.30 pagi.

Jamuan makan malam pula akan dimeriahkan oleh kira-kira 2,000 saudara-mara dan sahabat-handai kedua belah mempelai.

Cik Lulu memberitahu BERITAMediacorp: “Majlis persandingan ini disokong oleh lebih 70 ‘vendor’, termasuk lebih 60 penaja.”

“Berkat bagi jamuan sarapan tengah hari merangkumi lapan jenis barangan termasuk beg tote, buku nota, lilin, pes masakan, tart Nutella, minyak Argan dan sabun lavender.

“Antara yang menaja adalah Grey by Ortenhill, Zahara Cosmetics, Asyura, Pink Sucree, Argabody dan Berkatfg,” kongsinya.

Tema bagi jamuan sebelah pagi adalah ‘Under The Sea’ manakala acara makan malam pula bertemakan Bollywood.

Nadiah M Din dan Bilal Jeanpierre juga mempunyai tiga persalinan pakaian dari Fatimah Mohsin The Wedding Gallery.

Kos bagi majlis persandingan, malam berinai, parti ‘bachelorette’ dan majlis pernikahan dianggarkan lebih S$100,000. Jumlah hantaran tidak dinyatakan.

NADIAH: MENGGEMBIRAKAN TETAPI MEMBERI TEKANAN

Ketika dihubungi BERITAMediacorp pada malam berinai pada 8 Disember, Nadiah berkongsi: “Segala persiapan amat menggembirakan saya, tetapi juga memberi tekanan pada masa yang sama.”

“Merancang majlis persandingan memang seronok, tetapi tekanan pasti akan ada juga,” balasnya ringkas.

Nadiah M Din bernikah dengan pilihan hatinya Bilal Jeanpierre, yang berbangsa Perancis, pada 14 Ogos lalu dalam satu acara tertutup di The Colonial @ Scotts. Majlis itu dihadiri oleh 200 jemputan.

Cik Lulu Mustika, yang sudah mengendalikan bisnes perancang perkahwinan selama empat tahun, turut memberitahu BERITAMediacorp bahawa perancangan bagi majlis ini bermula sejak setahun lalu.

“Meskipun agak mencabar untuk menguruskan lebih 70 ‘vendor’ dalam satu masa, mereka semua sangat membantu. Malah, Nadiah dan Bilal juga merancang majlis ini bersama-sama saya sehingga awal pagi, adakalanya sehingga jam 5.00 pagi.

“Tetapi walau apa pun, saya tetap menikmati merancang segala persiapan bagi majlis ini,” tambahnya lagi.

Malam berinai diadakan di HomeTeamNS Bukit Batok dengan tema Kampung, yang turut diserikan dengan Cabaran Pantun dan Cabaran Ikat Samping.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *