Satu masa dahulu mungkin jarang dilihat kanak-kanak yang ‘diikat’ oleh ibu bapa mereka, menggunakan tali keselamatan, apabila berada di tempat awam.
Tetapi sekarang, sedikit demi sedikit, nampaknya sudah semakin ramai ibu bapa yang melanggar ‘pantang-larang’ itu.
Isu memakaikan tali keselamatan pada anak-anak apabila berada di luar rumah – lebih-lebih lagi di tempat yang ramai orang atau di luar negara – bukanlah isu baru.
Namun, ia masih menjadi tajuk perbahasan hangat di kalangan ibu bapa, sama ada ia membantu atau memalukan.
TIDAK MEMALUKAN, KERANA…
BERITAMediacorp menghubungi Pengetua Kanan Busy Bees Asia, Cik Wirma Asad, yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang pendidikan kanak-kanak prasekolah, bagi mendapatkan pandangan beliau.
“Tiada apa yang memalukan tentang tali keselamatan kanak-kanak. Tujuannya adalah untuk memastikan anak berada pada jarak yang dekat dengan ibu bapa walaupun di tempat yang ramai orang. Ia amat berguna lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pembesaran dan mungkin tidak dapat memahami konsep keselamatan.
Cik Wirma Assad. (Gambar: Wirma Assad)
Cik Wirma akur, memang ada sesetengah orang yang menyifatkan tali keselamatan itu sebagai memalukan, “misalnya membuat anak-anak seolah-olah seperti anjing kerana diikat dan ditarik ke mana-mana”.
“Manusia cepat membuat tanggapan sedemikian mungkin kerana tali keselamatan adalah satu stigma di kalangan sebahagian masyarakat,” kata Cik Wirma lagi, yang juga seorang ibu kepada tiga orang anak.
KEJADIAN YANG DORONG PENGGUNAAN TALI KESELAMATAN
Beberapa ibu bapa yang dihubungi BERITAMediacorp berkata, tujuan utama mereka ‘mengikat’ anak-anak hanyalah satu, iaitu demi keselamatan.
Cik Noorrafiqah menunjukkan abah-abah kepada anak lelakinya.
Bagi Cik Siti Noorrafiqah Moktar, 35 tahun, insiden di mana salah seorang anak lelakinya tiba-tiba berlari jauh daripadanya dan hampir-hampir melintas jalan cukup menguatkan lagi tekad beliau untuk menggunakan tali keselamatan kanak-kanak.
“Masa itu anak saya nak masuk usia empat tahun, Dia suka berlari tak kira di mana. Pernah terjadi, dia melepaskan tangannya daripada saya dan terus berlari. Dia terus berlari dan tidak menoleh ke belakang langsung!
“Di depan pula ada lampu trafik dan dia mahu melintas jalan. Mujur ada seorang pakcik yang baru saja melintas jalan dan sempat menarik tangan anak saya,” kongsi ibu kepada tiga orang anak itu tentang kejadian yang mencemaskan melibatkan anak kecilnya. Beliau kemudian memutuskan untuk menggunakan tali keselamatan sejak tahun 2015.
Cik Noorrafiqah memberitahu BERITAMediacorp, lazimnya beliau menggunakan tali keselamatan kanak-kanak sewaktu menghantar anak-anaknya ke sekolah atau ketika keluar bersendirian bersama anak-anak.
Cik Noorrafiqah bersama anaknya, Zoreef Zarkasyee Muhd Fadil, 5 tahun.
Seorang lagi ibu, Cik Siti Maryam Mohd Amin, 32 tahun, yang juga menggunakan tali keselamatan ke atas anak-anaknya semasa mereka masih kecil berkata ia turut memudahkan kedua ibu bapanya sendiri membantu menjaga anak-anak beliau.
“Anak saya sangat aktif. Saya mahu anak saya bebas bergerak dan meneroka tetapi dapat dikawal dengan mudah. Ia juga memudahkan arwah ayah dan ibu saya menjaga anak saya sewaktu membawanya bersiar-siar,” kata Cik Siti Maryam yang mempunyai tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki.
Anak kedua Cik Siti Maryam memakai beg berbentuk beruang yang boleh dipasang tali abah-abah. (Gambar: Siti Maryam Amin)
RAMAI ORANG MELAYU FIKIR NEGATIF
Sungguhpun begitu, ibu bapa yang memilih untuk memanfaatkan tali keselamatan kanak-kanak ini seringkali dibelenggu dengan pandangan bertentangan daripada masyarakat yang mengibaratkan perbuatan mereka itu seolah-olah membuat anak bagaikan anjing.
Jadi bagaimana mereka menangkis stigma sedemikian?
Bagi Cik Istiqamah Jaafar, yang menggunakan tali keselamatan ke atas anaknya ketika dia berusia tiga tahun, para ibu bapa perlu sentiasa melihat sesuatu secara positif.
“Bagi saya, orang Melayu kita memang ramai yang berfikiran negatif tetapi kita sendiri perlu berfikiran positif. Keselamatan anak-anak kita perlu diutamakan. Sama ada di dalam atau di luar negara, malang tidak berbau. Dengan adanya tali keselamatan ini, kurang sedikit rasa bimbang,” kata ibu berusia 27 tahun itu yang anaknya mengalami autisme ringan.
Bagi pasangan Siti Zaleha Ahmad A’Taillah dan suaminya Muhammad Faizul Abu Samat, yang mempunyai dua orang anak, mereka berpegang kepada pandangan malang tidak berbau. Oleh itu, penggunaan tali keselamatan sedemikian adalah sesuatu keperluan.
“Ada juga orang luar yang bertanya mengapa kami menggunakan tali keselamatan ini sedangkan kami boleh menjaga anak kami sendiri. Sebagai respons, kami hanya tersenyum. Bagi saya, itu pendapat masing-masing,” Encik Muhammad Faizul memberitahu BERITAMediacorp.
Cik Zaleha, Encik Faizul memakaikan abah-abah pada anak pertama mereka.
Cik Siti Maryam pula berkata, beliau juga tidak terlepas daripada hinaan orang. Namun masih ada segelintir yang memujinya kerana memastikan keselamatan anak-anak terjamin.
“Kami hanya tersenyum. Keselamatan anak-anak lebih penting dan anak kami juga gembira dapat memakai tali keselamatan kerana saya membelikan mereka tali yang berbentuk binatang-binatang seperti beruang, kambing dan katak dan mereka boleh memilih hendak pakai yang mana,” ujar Cik Siti Maryam.
“RAMAI IBU BAPA BERFIKIRAN SAMA”
Tinjauan BERITAMediacorp ke atas laman-laman web mendapati, tali keselamatan kanak-kanak kini dijual dalam pelbagai bentuk – ada yang berupa beg galas dengan rekaan yang comel bagi memancing minat kanak-kanak dan ada juga yang berbentuk seperti gelang tangan yang bercantum dengan tali gegelung.
Harganya juga agak berpatutan dalam lingkungan antara $10 dengan $50, bergantung kepada jenama dan mutunya.
Cik Nuraien Jairani, ibu kepada dua orang anak, bukan saja menggunakan tali keselamatan, malah menjualnya.
“Kali pertama saya membelinya ketika itu saya membuat tempahan sekali untuk rakan-rakan saya dan juga ibu bapa daripada satu kumpulan di Facebook. Dalam tempoh seminggu, jumlah tempahan saya mencecah 50 unit. Ini sekaligus menunjukkan ramai juga ibu bapa yang berfikiran sama.”
Cik Nuraien menambah, beliau bagaimanpun tidak mengambil sebarang keuntungan daripada penjualan tali keselamatan itu.
Abah-abah berbentuk beg bercorak seperti kumbang yang dipakai anak Cik Zaleha dan Encik Faizul.
CARA-CARA GUNAKAN DENGAN BERTANGGUNGJAWAB
Dengan tali keselamatan kanak-kanak kian mendapat perhatian di kalangan para ibu bapa, Cik Wirma memberitahu BERITAMediacorp, ia perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab dan hanya dengan niat memastikan keselamatan anak-anak. Ini agar ia tidak akan mendatangkan kesan negatif dari segi psikologi.
Cik Wirma turut menggariskan lima langkah menggunakan tali keselamatan dengan cara yang bertanggungjawab, iaitu:
- Menjelaskan kepada anak mengapa tali keselamatan itu satu keperluan
- Menghormati anak dengan memberikan ruang atau jarak yang diperlukan untuk anak bergerak
- Memberikan anak kebebasan untuk membuat keputusan tentang di mana dia ingin berjalan dan berjalanlah di sebelahnya
- Menjelaskan kepada anak mengapa ada tempat tertentu yang tidak dibenarkan baginya untuk berjalan seorang diri, khususnya sewaktu melintas jalan raya yang sibuk atau berlari ke arah lain tanpa memberitahu ibu bapa; dan
- Tali keselamatan mestilah menghubungkan antara anak dengan ibu bapa dan bukan pada tiang atau kerusi (sementara ibu bapa duduk membaca atau meminum kopi).
Tali keselamatan memang dapat membantu memastikan keselamatan anak-anak.
Bagaimanapun ia tidak seharusnya dijadikan sebagai pengganti tanggungjawab ibu bapa mendidik anak tentang amalan-amalan keselamatan.
Pada akhirnya, ibu bapa jugalah yang perlu memberi ruang bagi anak-anak memperolehi pengajaran menerusi kehidupan.