Warga Singapura, Dr Husaini Abdul Hafiz, Meninggal Dunia Sedang Dalam Perjalanan Ke Kerja Di New Zealand

Seorang lelaki warga Singapura rebah dan meninggal dunia ketika berjalan kaki ke tempat kerja di Hagley Park di Christchurch, New Zealand pagi tadi (13 Feb).

BERITAMediacorp diberitahu, Dr Husaini Abdul Hafiz, 50 tahun, merupakan seorang doktor di Lembaga Kesihatan Daerah Canterbury dan sudah bekerja dan menetap di New Zealand bersama keluarganya sejak lapan hingga sembilan tahun lepas.

ANTARA KARYAWAN PERUBATAN YANG BENTUK MHPA

Allahyarham di kalangan sekumpulan karyawan perubatan yang membentuk Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Islam (MHPA) dan juga aktif bergiat di badan bukan pemerintah Mercy Relief sebelum menetap di New Zealand.

Allahyarham Dr Husaini sebelum ini pernah mempunyai klinik GP di Blok 516 Choa Chu Kang, iaitu Hafiz Clinic & Surgery.

Menurut laman stuff.co.nz, polis dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku berhampiran Hospital Christchurch itu pada sekitar 8.15 pagi tadi (waktu tempatan).

Sebahagian laluan pejalan kaki di kawasan tersebut sudah dikepung, menurut laporan itu.

Abang Allahyarham Encik Husaini, Encik Alwi Abdul Hafiz, berkata beliau dan keluarganya belum pasti tentang punca kematiannya.

AKTIF DI MEDIA SOSIAL BEBERAPA JAM SEBELUM KEJADIAN

Namun Encik Alwi, penasihat di Golden Veroleum Liberia, 54 tahun, berkata Allahyarham masih aktif di media sosial hanya beberapa jam sebelum kejadian itu berlaku.

“Setakat ini kami hanya tahu beliau ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau memang selalu berjalan kaki ke tempat kerja,” kata Encik Alwi, yang juga anggota Suara Musyawarah.

“Kami kerap berhubungan di media sosial, dan beliau masih aktif di media sosial hanya beberapa jam sebelum kejadian itu berlaku, jadi ini satu kejutan untuk kami semua,” tambahnya lagi ketika dihubungi BERITAMediacorp.

Encik Alwi berkata adiknya tidak diketahui menghidapi sebarang penyakit sebelum ini.

Kali terakhir mereka bertemu adalah apabila Allahyarham berkunjung ke Singapura lewat tahun lalu.

Menurut Encik Alwi, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima anak – dua anak lelaki dan tiga anak perempuan – berusia 7 tahun hingga 20an tahun.

Encik Alwi memberitahu BERITAMediacorp, Allahyarham akan dikebumikan di New Zealand. Beliau dan keluarganya akan ke New Zealand nanti untuk upacara pengebumian Allahyarham.

Encik Alwi berkata anak lelaki kedua Allahyarham, yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) di Singapura, akan turut ke sana untuk menatap wajah ayahnya buat kali terakhir.

Sementara itu, Detektif Sarjan Kanan Mark Worner ditukil laman stuff.co.nz sebagai berkata, lelaki yang ditemui meninggal dunia di Hagley Park dipercayai rebah ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Seorang jurucakap polis menambah kematian itu tidak mencurigakan dan kes itu sudah dirujuk kepada pihak koroner.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *