Pemuzik Rok Yahudi Hasilkan Album Galak Pemahaman Tentang Islam

Kecewa dengan layanan yang diterima orang Muslim di Amerika yang kini dipimpin Presiden Donald Trump, penyanyi rok indie Ben Lee memutuskan untuk menyumbangkan bakatnya demi menggalak kesefahaman.

Bekas ketua kugiran Noise Addict itu, yang membesar dalam sekitaran Yahudi, sudah merakamkan album lagu-lagu tentang Islam yang disasarkan kepada kanak-kanak, dengan harapan inisiatifnya itu dapat mencetuskan kesan yang besar.

LAGU-LAGU TENTANG ISLAM YANG RUJUK KEPADA AL-QURAN

Album yang dipanggil ‘Ben Lee Sings Songs About Islam for the Whole Family’ (video) itu menjelaskan tentang ajaran-ajaran teras agama Islam, sambil merujuk kepada Al-Quran. Malah, lagu-lagu tersebut disusun dengan melodi yang ceria, sesuai untuk kanak-kanak dalam kelas tadika.

Lee, seorang warga Australia yang tinggal di Los Angeles, berkata melalui kerjayanya sendiri dan dengan memerhatikan anak perempuannya yang berusia 7 tahun, beliau sedar bahawa muzik mempunyai pengaruh yang besar.

“Itulah keindahan lagu pop – anda boleh katakan apa sahaja, dan jika anda katakannya dalam dua setengah minit dengan korus yang menarik, ia lebih mudah diterima,” kata Lee, 38 tahun.

“Saya rasa saya berada di tahap dalam kehidupan saya di mana anda mula menyedari anda hanya boleh membawa kesan yang berkekalan terhadap kemanusiaan, menerusi pengaruh anda terhadap generasi akan datang,” katanya kepada AFP.

Lee akan mendermakan semua hasil untung daripada penjualan albumnya itu kepada Kesatuan Kebebasan Awam Amerika, yang sudah secara agresif mencabar Encik Trump tentang isu-isu hak kemanusiaan termasuk sekatan perjalanannya – yang sudahpun digantung mahkamah – terhadap para pelawat dari tujuh negara majoriti Muslim.

PEMAHAMAN LEBIH BERNUANSA TENTANG ISLAM

Namun Lee tidak menganggap albumnya, yang dikeluarkan pada 3 Mac, sebagai berbaur politik. Sebaliknya, beliau berharap dapat memberikan pemahaman lebih bernuansa tentang agama.

Lee, yang membesar sebagai penganut Yahudi, berkata dari segi rohaniah, beliau kini berada di “persimpangan jalan” dan tidak lagi boleh melihat sesebuah agama pada luarannya sahaja, tetapi sebaliknya mahu menghargai agama.

Matlamat album itu adalah “untuk fokus terhadap persamaan dan mula berfikir secara mitologi tentang kisah-kisah kebudayaan ini – dan memperkenalkan kanak-kanak kepada pemikiran seperti itu daripada pemikiran secara luarannya sahaja,” kata Lee.

“Semua agama ini seperti mitos Yunani atau Shakespeare. Mereka memberikan wawasan yang hebat tentang kemanusiaan.”

Muzik yang dinyanyikan dalam album ‘Ben Lee Sings Songs About Islam for the Whole Family’ mempunyai rentak yang rancak dan menyampikan mesejnya secara langsung.

Dalam sebuah lagu tentang bulan Ramadan, Lee mendendangkan para pendengar dengan alunan muzik rakyat bercampur rok daripada gitar dan marakas, serta muzik piano berentak jazz sedang beliau menjelaskan tentang bulan puasa itu.

Antara liriknya berbunyi: “Ramadan, oh Ramadan/We’re so happy when you come/And sad to leave you when you’re gone/We’ll miss you, Ramadan.” (Ramadan, oh Ramadan/Kami sungguh gembira apabila kamu datang/Dan sedih apabila kamu pergi/Kami akan merindui kamu, Ramadan)

Bagi lagu tentang dua kalimah syahadah La Ilaha Il Allah pula, Lee menyuntik rentak yang sesuai untuk kanak-kanak bernyanyi bersama sambil menyelitkan kisah-kisah tentang Islam. Untuk lagu ‘Islam Means Surrender’ (Islam bermaksud Penyerahan) pula, Lee menjelaskan tentang maksud agama itu dengan korus rok.

(Gambar-gambar: Mark RALSTON/AFP)

HORMAT DENGAN ISLAM

Lee berkata beliau sudah banyak membaca Al-Quran dan mengkaji tentang Sufisme.

Namun, aliran-aliran Islam lebih konservatif, terutama Wahhabi yang dominan di Arab Saudi, tidak setuju dengan penggunaan muzik dalam agama.

Lee berkata beliau berniat sepenuhnya agar albumnya itu menghormati Islam.

“Saya tidak melukiskan gambar-gambar (Nabi) Muhammad,” katanya. “Saya menyanyikan lagu.”

“Saya tidak akan sekali-kali melakukan sesuatu yang dianggap sebagai penghinaan.”

Lee memang selama ini sedang mengusahakan lima album berasingan tentang agama-agama utama – Buddha, Kristian, Hindu, Islam dan Yahudi – namun berkata beliau mempercepatkan proses bagi album terbarunya memandangkan keadaan sekarang ini.

Lee, yang sudah berkolaborasi dengan pemuzik-pemuzik rok alternatif terkemuka termasuk Liz Phair dan Lou Barlow dari Dinosaur Jr, pada 2013 mengeluarkan album tentang pengalamannya dengan ayahuasca, minuman psikedelik dari para bomoh Amazon.

“Saya memang selalu minat untuk mengetengahkan konsep-konsep pinggiran dengan cara yang mudah diterima,” katanya.

Lee berkata langkahnya itu tepat pada masa lebih-lebih lagi memandangkan iklim politik sekarang ini.

“Semua agama – tidak kira betapa ia disalahtafsir oleh kumpulan tegar dan oleh kepercayaan ortodoks dan golongan literalis – pada terasnya tentang usaha mencari kebenaran,” katanya.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *