Seorang wanita yang sarat mengandung dilihat masuk ke garaj kereta, melahirkan bayinya dalam kurang 30 saat, lalu meninggalkan bayinya di situ seolah-olah tiada apa-apa berlaku.
Kejadian pelik itu dilaporkan berlaku di Hangzhou, Zhejiang kelmarin (11 Mac), menurut akhbar South China Morning Post (SCMP) yang menukil laman berita stesen radio Traffic FM918.
Menurut laporan itu, rakaman kamera CCTV menunjukkan seorang wanita yang memakai kot kuning dilihat berjalan masuk ke dalam garaj itu dengan keadaan sarat mengandung.
Wanita itu lalu dilihat menyangkung di kalangan bahagian-bahagian kereta di garaj itu, sebelum membuka seluarnya, menurut SCMP.
Dalam kurang 30 saat sahaja, beliau berdiri dan memakai semula seluarnya, lalu dengan tenang berjalan pergi.
Seorang kakitangan garaj, Xiao Song, menemui seorang bayi lelaki di lantai garaj sekitar 8.00 pagi. Bibir bayi itu kelihatan ungu akibat kesejukan.
“Apabila saya menemui bayi itu, bibirnya sudah berwarna ungu. Dia tidak menangis tetapi saya risau apabila melihat darah di lantai,” kata Xiao Song kepada Traffic FM918.
Lebih aneh lagi, si wanita itu dilaporkan kemudian tampil ke hadapan untuk menuntut bayinya itu. Oleh itu polis Hangzhou tidak menganggap kes tersebut sebagai kes meninggalkan bayi.
Menurut SCMP, wanita berkenaan memberitahu polis beliau tiada pilihan lain selain melahirkan bayinya pada saat-saat akhir di garaj tersebut.
Namun setelah bersalin, beliau mendakwa tidak tahu apa yang harus dilakukannya, lalu meninggalkan tempat itu seketika.
Bagaimanapun, apabila beliau kembali ke garaj tersebut, beliau mendapati bayi itu sudah tiada.
SCMP melaporkan, bayi wanita tersebut dalam keadaan sihat kecuali mengalami kesejukan akibat ditinggalkan di lantai garaj.
Source: BeritaMediacorp