Pesta Perdana 2017 – Rahimah Rahim Terima Anugerah Perdana Emas

enyanyi veteran Rahimah Rahim, dijulang dengan anugerah besar yang kedua bulan ini, apabila beliau nobatkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pesta Perdana, iaitu Anugerah Perdana Emas.

Anugerah tersebut diberikan semasa majlis anugerah gilang gemilang Pesta Perdana ke-14, yang berlangsung malam ini tadi (31 Mac).

Baru seminggu lalu (24 Mac), Rahimah Rahim dijulang ke dalam senarai Dewan Wanita Masyhur Singapura (SWHF) oleh Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO). Ini sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang hiburan dan seni tempatan.

Rahimah kelihatan terharu apabila berada di atas pentas dan berkata beliau “rasa menggigil’ sehingga terpacul dari mulutnya perkataan ‘nak cakap apa eh?’.

Yang pasti, banyak yang sudah beliau sumbangkan kepada persada seni tempatan sehinggakan SURIA memilihnya sebagai penerima Anugerah Perdana Emas yang berprestij itu. Anugerah untuk mereka yang sudah menyumbang begitu banyak untuk dunia seni Melayu.

(Gambar: BERITAMediacorp)

RAHIMAH RAHIM – LEBIH 50 TAHUN DALAM DUNIA SENI HIBURAN

Rahimah Rahim yang kini berusia 61 tahun, sebenarnya sudah berkecimpung dalam dunia seni dan hiburan selama lebih 50 tahun – bermula sebagai pelakon kanak-kanak pada usia enam tahun.

Pada usia 19 tahun, Rahimah Rahim menjadi juara pertandingan adu bakat Kimi Koso Talentime di Tokyo, sekaligus mengharumkan nama Singapura di persada antarabangsa.

Seorang penyanyi jelita semasa zaman kegemilangannya, Rahimah Rahim pernah berkongsi pentas dengan gergasi-gergasi nyanyian antarabangsa seperti Leslie Cheung dan Alan Tam, selain membuat persembahan di banyak negara luar.

Sebagai seorang penyanyi, beliau sudah menghasilkan sebanyak 17 buah album, dengan albumnya yang terakhir diedarkan sekitar 10 tahun lalu.

Rahimah kemudian meninggalkan dunia seni selama lebih 10 tahun bermula tahun 1990, sebelum memasuki semula pentas hiburan pada tahun-tahun 2000.

Yang pasti, beliau seorang yang semula jadi dalam industri hiburan dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk kembali mewarnakan dunia hiburan tempatan.

Di akhir ucapannya semasa menerima trofi anugerah anugerah khas Pesta Perdana, Rahimah sempat menyanyikan bait-bait bermakna daripada sebuah lagunya. Begini bunyinya:

Jalan ke puncak seni, beronak dan berliku, mencabarkan pendakianku,

Namun tetap kugagahi, jiwa seni ku ini, demi hasrat yang suci…

Kini, nama beliau sekali lagi dijulang dalam ‘Oscar Melayu Singapura’ dan Rahimah Rahim diberikan ‘standing ovation’ selaku penerima Anugerah Perdana Emas.

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *