Masjid Yusof Ishak Dibuka Rasmi Hari Ini Oleh Isteri Allahyarham Presiden Yusof Ishak

Masjid Yusof Ishak akan menempatkan pejabat pertama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Ia bagi menghidupkan semangat dan sifat Presiden pertama Singapura Encik Yusof Ishak yang dikenali sebagai berjiwa rakyat.

Masjid tersebut dibuka rasmi esok (14 Apr) oleh isteri Allahyarham, Puan Noor Aishah.

AJAK PENGUNJUNG LAYARI SUASANA RUMAH MELAYU

Menjelang acara bersejarah itu, BERITAMediacorp diberi kebenaran secara eksklusif untuk merakamkan ruang dalamannya yang hampir siap sepenuhnya dan membawakan laporan berikut.

Tersergam indah di tengah-tengah tanah lapang dan berkonsepkan nusantara, Masjid Yusof Ishak terletak di Woodlands Avenue 17.

Masjid ke-71 itu mengajak para pengunjung seakan melayari suasana di sebuah rumah orang Melayu, digabungkan dengan suntikan ciri moden.

“Keindahan seni bina masjid Yusof Ishak ini terletak pada keindahan seni bina bangunan rumah Melayu yang terdapat di nusantara, di mana kita dapati rumah-rumah Melayu ini, penuh dengan hiasan-hiasan yang berunsurkan keislaman dan kemelayuan. Di sekitar masjid ini sahaja, terdapat beberapa bentuk hiasan yang berbeza,” Pengerusi Masjid Yusof Ishak, Muhd Ayub Johari memberitahu BERITAMediacorp.

KONSEP TAMPILKAN KEPERIBADIAN PRESIDEN PERTAMA S’PURA

Menurut Encik Ayub lagi, konsep nusantara dipilih bagi menampilkan keperibadian Presiden pertama Singapura Encik Yusof Ishak yang ketika menjadi Presiden amat mengambil berat terhadap masyarakat Melayu Singapura.

Bagi menghidupkan lagi semangat dan perwatakan beliau, mimbar masjid diukir dengan corak orkid, bunga yang menjadi kegemarannya juga isteri Puan Noor Aishah.

Terdapat juga sebuah taman orkid khas di belakang masjid bagi menyerlahkan lagi keperibadian pasangan tersebut di masjid ini.

Jika dilihat sekeliling masjid itu, banyak sekali hijau-hijauan. Yang menariknya, isteri Presiden Yusof Ishak, Puan Noor Aishah sudahpun menyumbangkan sekurang-kurangnya lima jenis tumbuh-tumbuhan dari taman di rumahnya. Ia sudahpun ditanam di sekeliling kawasan masjid itu.

Setinggi lima tingkat, masjid itu mampu menampung 4,500 jemaah pada satu-satu masa.

Ini sekaligus dapat mengurangkan kesesakan sewaktu solat Jumaat di masjid An-Nur, yakni satu lagi masjid di Woodlands.

Selain kemudahan-kemudahan asas yang menerapkan pelbagai prasarana untuk setiap golongan masyarakat, termasuk golongan kurang upaya, pejabat RLAF di masjid itu juga bagi memperingati semangat dan sifat Encik Yusof Ishak yang sewaktu hayatnya, komited kepada pembangunan kaum belia dan membantu mereka yang sakit dan kurang bernasib baik.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *