Nura J Buka Salon Muslimah Pertama Di Orchard Rd, Mahu Dampingi Pelanggan Luar Negara

Niat awalnya untuk mengisi jurang dalam pasaran jagaan rambut muslimah ternyata berjaya dilaksanakan. Namun kini, beliau maju lagi setapak dengan menawarkan khidmatnya di kawasan utama Singapura pula.

Malah, buat julung-julung kalinya, beliau memberi nafas baru dan berhasil membuka salon Muslimah yang pertama di kawasan Orchard Road!

Pemilik salon muslimah terkenal Pearlista dan juga personaliti tempatan, Nura J, bahkan mengorak langkah berani dengan membuka cawangan ketiganya itu di kawasan bandar tersebut.

Nura J memberitahu BERITAMediacorp: “Idea itu tercetus sekitar dua bulan lalu selepas saya selesai makan malam bersama suami di Far East Plaza. Kami sudah merancang untuk membuka cawangan ketiga, tetapi pada awalnya tidak begitu pasti tentang lokasinya.

“Bagaimanapun, setelah melihat banyak salon rambut biasa yang dapat bertahan, kami berpendapat salon muslimah kami juga mungkin dapat berkembang maju di sana.”

BERPOTENSI DAMPINGI SEGMEN PASARAN BERBEZA

Terletak di Far East Plaza, Nura J malah merasakan bahawa cawangan tersebut dapat mendampingi segmen pasaran yang berbeza selain menyasarkan kepada mereka yang tinggal di bahagian tengah Singapura.

Ini memandangkan pusat beli-belah itu terletak berhampiran dengan Hotel Grand Hyatt dan Royal Plaza on Scotts.

“Cawangan Pearlista Orchard mungkin berhadapan dengan sasaran pelanggan yang berbeza. Malah kini, ia mungkin dapat mendampingi para pengunjung dari Brunei, Indonesia dan Malaysia yang menginap di hotel-hotel yang berdekatan. Dan tentunya, peluang ini tidak akan disia-siakan,” kata Nura J.

Meskipun begitu, beliau bertekad untuk tidak memberikan kelebihan ketara kepada cawangan terbarunya itu, berbanding dengan cawangannya di kawasan kejiranan.

Menurutnya, ini agar beliau dapat mengekalkan tahap konsisten bagi khidmat salonnya di kesemua cawangan yang disediakan.

“Kami tidak boleh mempunyai pemikiran bahawa, hanya kerana ia terletak di Orchard, ia harus diberikan keutamaan atau kelebihan tambahan. Malah, kami harus memastikan khidmat kami diselaraskan di kesemua cawangan agar tidak menjejas mutu yang ditawarkan kepada pelanggan tetap di cawangan-cawangan lain,” katanya kepada BERITAMediacorp.

Pertama kali dilancarkan pada hujung tahun 2014, Pearlista kini sudahpun berjaya membuka tiga cawangan dalam masa kurang tiga tahun, selain giat menjalankan operasi di cawangan Icon@Changi di Eunos dan CityVibe di Clementi.

GENERASI ‘M’ PACU PENGEMBANGAN PASARAN MUSLIMAH

Nura J, yang juga berkhidmat sebagai seorang ejen hartanah, bahkan menjangkakan pasaran jagaan rambut muslimah akan terus berkembang pada masa hadapan.

“Kaum muslimah kini datang dari Generasi M (“money”), yang mampu dan lebih rela untuk berbelanja. Selain memastikan khidmat yang diberikan haruslah bermutu tinggi, kami juga harus menyerlah dan mencari tukikan sendiri, seperti khidmat ‘Creambath’ kami,” katanya.

“Bagaimanapun, kami tetap memberi tumpuan khusus kepada masalah rambut sebenar seperti keguguran rambut dan kelemumur, dan berhasrat membantu kaum muslimah menyelesaikan masalah tersebut,” tambah Nura lagi.

Meskipun begitu, Pearlista masih harus tetap mengikut arus trend gaya rambut dan rawatan yang terkini, selain sering menghantar pasukan pendandan rambutnya ke kursus-kursus bersama rakan syarikat rasmi, Wella Academy, menurutnya.

“Peluang untuk bertemu dengan wanita dari segenap bidang pekerjaan, dan bagi mereka untuk terus menyokong dan kembali semula, ia sesuatu yang sangat saya hargai. Setiap maklum balas yang diterima juga membuat kami merasakan bahawa ia suatu pekerjaan yang mulia juga,” katanya.

(Gambar-gambar: Nura J/ Instagram)

PESAING PEARLISTA ADALAH… DIRINYA SENDIRI

Dengan bertambahnya perniagaan salon muslimah di negara ini, Nura J juga merasakan bahawa pesaing terhebat Pearlista adalah, Pearlista sendiri.

“Saya sudah lama bekerja sendiri dan saya percaya pada etika bisnes. Jika kita menjejas perniagaan orang lain, kita seperti tidak percaya pada rancanganNya.

“Pesaing Pearlista adalah dirinya sendiri, kerana jika kita sering melihat kepada pesaing lain, kita mungkin akan menjejas kebolehan sendiri. Malah, kita seharusnya berkongsi kegembiraan bersama-sama dan mendakapi persaingan dalam bidang ini,” kata Nura, berkongsi sekelumit falsafah perniagaannya kepada BERITAMediacorp.

Salah satu cara untuk terus menarik perhatian golongan muda, menurut Nura, adalah untuk mengekalkan sistem online yang cekap. Bahkan, Pearlista juga giat menghasilkan produk rambut jenama sendiri sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk memperluaskan perniagaannya.

“Harapan saya adalah agar Pearlista akan terus bersinar, berkembang maju melalui produk dan cawangan barunya serta dapat terus memberi peluang pekerjaan kepada golongan gadis yang membantu membangunkan jenama Pearlista,” katanya.

Pearlista Orchard di Far East Plaza mula beroperasi hari ini (2 Mei) dan tempahan boleh dibuat melalui lamannya atau aplikasi Booksy.

Pelancaran rasmi Pearlista Orchard dijangka diadakan menjelang hujung bulan Mei.

 

Rilek1Corner

Source: http://berita.mediacorp.sg/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *