Dr Norshahril Saat: Sains Masyarakat Berperanan Dalam Memahami Masalah Masa Kini

“Orang Melayu masih mahu belajar tentang pengajian Melayu?” Benarkah pengajian dan pemahaman tentang sains kemasyarakatan boleh menjadi penawar kepada isu-isu berat dan meruncing masyarakat Melayu? Dr Norshahril Saat menerangkan mengapa peranan ilmu yang kerap dipandang ringan ini boleh membuka minda masyarakat dan mengatasi banyak gejala sosial masyarakat kita.

Gambar hiasan. (Gambar fail: TODAY)

BARU-BARU ini saya menghadiri satu simposium berkenaan sains masyarakat (social sciences) di Tehran, Iran. Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah beberapa pakar sosiologi bertaraf antarabangsa.

Antara wakil daripada Singapura adalah Professor Syed Farid Alatas daripada Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), yang membentangkan satu kertas kerja menyentuh tentang pengaruh Orientalisme dan Eurosentrisme dalam sains masyarakat.

Secara ringkas, Orientalisme adalah pandangan berat sebelah masyarakat Barat terhadap masyarakat Asia dan Timur Tengah, seperti menganggap masyarakat Melayu sebagai sebuah masyarakat yang membudayakan sifat “malas.”

PENGARUH PEMIKIRAN MASYARAKAT EROPAH

Eurosentrisme pula adalah sudut pandang masyakarat yang seringkali mengagung-agungkan masyarakat Eropah, atau kecenderungan melihat sesuatu masalah lewat lensa pemikir-pemikir Eropah.

Eurosentrisme juga bererti mewarisi stereotaip-stereotaip masyarakat Eropah—yang pernah menjajah tanah Melayu—terhadap masyarakat setempat.

Salah satu pemikiran berat sebelah mereka adalah menyifatkan masyarakat Melayu sebagai sebuah masyarakat homogen, dan tidak memahami dinamika kepelbagaian dalam masyarakat.

SAINS MASYARAKAT & MASYARAKAT MELAYU

Apakah peranan sains masyarakat bagi masyarakat Melayu?

Mungkin ada sesetengah dalam masyarakat kita yang memandang enteng terhadap subjek tersebut, sehingga ramai ibu bapa yang mahukan anak mereka menjadi doktor, peguam, jurutera, tetapi tidak ada yang mahukan anak mereka menjadi pakar sosiologi, pengamat politik, ahli antropologi atau pengajian Melayu.

Malangnya, tidak kurang juga yang menyatakan bahawa pembelajaran sains masyarakat tidak penting berbanding sains tradisional, seperti ilmu kimia, biologi, dan fiziks.

Ada juga yang memberikan kata-kata sindiran apabila mendengar pelajar-pelajar yang mengambil bidang pengajian Melayu. “Orang Melayu masih mahu belajar pengajian Melayu?”

Soalan seperti itu sendiri bersifat Orientalisme, kerana menganggap hanya orang Barat sahaja yang harus belajar di pengajian Melayu.

Pengkritik mungkin tidak sedar bahawa jurusan itu telah menghasilkan ramai pemikir-pemikir bertaraf antarabangsa dan kritikal masa kini.

MENGANALISA PUNCA MASALAH DENGAN TEPAT

Pentingnya sains masyarakat ini adalah ia membolehkan kita menganalisa punca sesuatu dengan lebih tepat. Ia menganjurkan kita belajar sekitaran kita dengan cara lebih sistematis.

Ia menggalakkan kita berfikir bagaimana sains tradisional mengajar kita. Misalnya, teori graviti menyatakan bahawa sesorang itu tidak akan terapung ke udara kerana tarikan graviti di bumi.

Satu lagi contoh adalah elemen-elemen yang mewujudkan air: dua atom hidrogen bersatu dengan satu atom oksigen menjadikan air. Hal ini boleh dibuktikan dengan eksperimen-eksperimen sains.

Begitu juga sistem pemikiran bagi sains kemasyarakatan. Bezanya adalah sesuatu masalah atau fenomena sosial itu diwujudkan dari pelbagai faktor.

Misalnya, apakah yang menyebabkan gejala dadah meningkat dalam masyarakat?

MEMAHAMI PUNCA MASALAH DADAH

Kita perlu mencari golongan yang terlibat dalam dadah, kawasan di mana mereka tinggal, struktur keluarga mereka dibesarkan.

Jelas ia bukan hanya dinilai sebagai masalah etnik, walaupun masyarakat Melayu merupakan golongan yang terbesar terlibat dalam dadah. Kita perlu memikirkan masalah struktur dalam masyarakat.

Jika kita hanya melihatnya sebagai masalah Melayu. Dengan hanya berteriak di mimbar-mimbar masjid menyatakan dadah itu haram tidak akan menyelesaikan masalah, kerana puncanya bukanlah soal halal atau haram dadah itu.

Mentelah, menyatakan hal sedemikian di masjid-masjid hanya menyampaikan pesan kepada golongan yang tidak mengambil dadah.

Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Philippe Huguen)

KAITAN PENGGANASAN DENGAN AGAMA

Satu lagi contoh yang relevan bagi masyarakat kita masa kini adalah isu pengganasan. Seringkali teologi dikaitkan dengan masalah tersebut.

Menurut wacana dominan masa kini, untuk memulihkan kondisi masyarakat, kita perlu mengakarkan Islam “moderat” dan “progresif”.

Bagi saya, mengajarkan nilai-nilai Islam yang baik harus dilakukan bukan untuk mengatasi pengganasan sahaja, tetapi sebagai keperluan bagi kehidupan masyarakat Islam dalam sebuah masyarakat majmuk.

Walau bagaimanapun, hanya menyalahkan agama sahaja sebagai punca terrorisme adalah kurang tepat.

PUNCA PENGGANASAN PERLUKAN KAJIAN MELUAS

Kajian tentang punca terrorisme harus digandingkan dengan kajian-kajian psikologi dan kriminologi, dan bukan tertumpu pada masalah salah tafsir Quran dan Hadis sahaja.

Pada tahun 2011, Ander Behring Breivik membunuh hampir 70 jiwa yang tidak berdosa di Norway. Adakah ini masalah agama? Bagaimana pula tentang kes-kes penembakan rambang di sekolah-sekolah Amerika Syarikat? Adakah itu masalah agama, sosial, atau rang undang-undang yang kurang bijak?

Faktor agama atau ideologi hanyalah satu alasan yang diberikan bagi penjenayah-penjenayah tersebut, tetapi puncanya jenayah adalah mungkin pelaku-pelaku tersebut dipinggir oleh masyarakat, satu konsep yang disebut sebagai alienasi dalam sains kemasyarakatan.

(Gambar: REUTERS/Dado Ruvic/Illustration/File Photo)

PUNCA MASALAH KOMPLEKS DAN PELBAGAI

Asas utama sains kemasyarakatan ada tiga aspek: pencarian punca masalah; penjelasan terhadap masalah tersbut, dan memahami natijahnya. Punca sesuatu masalah adalah kompleks dan pelbagai.

Faktor-faktor yang perlu diambil kira dalam meganalisa sesuatu masalah adalah seperti kelas (disebut social class) dan keadaan sosio-ekonomi; pengaruh gender, pergaulan dan persekolahan; dasar-dasar pemerintah dan sebagainya.

Selalunya, faktor budaya dan agama adalah faktor-faktor sampingan. Malangnya, faktor budaya dan agama inilah yang sering dijadikan teras dalam menganalisa sesuatu masalah, kerana ia mudah difahami.

Dengan menyalahkan agama atau bangsa pada suatu masalah, maka samalah mereka seperti Orientalis dan Eurosentris.

GANDINGAN ILMU AGAMA DAN SAINS MASYARAKAT

Di sini perlu disebutkan bahawa pemahaman agama juga harus disesuaikan dengan keadaan masyarakat. Adalah wajar bagi para agamawan kita bekerjasama dengan mereka yang berpengetahuan tentang sains masyarakat.

Ia untuk memastikan agar hukum-hakam agama dapat memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Misalnya, cara undang-undang syariah difahami dahulu mungkin sesuai pada masyarakat patriarki, apabila ramai sang suami yang keluar bekerja, sementara wanita hanya menjaga keperluan keluarga di rumah.

Halnya berbeza masa kini di mana kedua-dua suami dan isteri keluar bekerja, dan wanita juga menyara kos kehidupan keluarga. Justeru, ini kita harus memikir-ulang konsep nafkah dalam hubungan suami-isteri.

HARUS PENUHI KEPERLUAN MASYARAKAT

Teologi juga harus mengambil kira undang-undang yang dilaksanakan oleh pemerintah kita. Misalnya, bagaimana kita boleh menanamkan prinsip keadilan dalam pembahagian harta pusaka dalam konteks perlaksanaan CPF atau sistem caruman di Singapura ini.

Sistem CPF itu sendiri mengamalkan pembahagian yang adil terhadap keperluan masyarakat moden sambil mengambil kira masa tua seseorang dan juga aspek-aspek pendidikan anak-anak.

Lantas, agamawan kita perlu bekerjasama dengan ilmuan sains masyarakat dan cuba melakarkan fatwa-fatwa yang relevan buat masyarakat moden.

Teologi sendiri harus berkembang untuk memenuhi keperluan masyarakat dan masalah yang dihadapi mereka.

Di sini, penilaian yang dibuat oleh sains masyarakat sangat perlu kerana mereka cuba menggali punca masalah dengan tepat dalam dunia yang lebih kompleks.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah Zamil Institut Iseas-Yusof Ishak. Beliau lulusan Doktor Falsafah Pengajian Antarabangsa, Politik dan Strategik dari Universiti Kebangsaan Australia (ANU). Baru-baru ini, kajian beliau tersenarai sebagai salah satu diantara 12 projek yang diluluskan Majlis Kajian Sains Masyarakat (SSRC), Kementerian Pendidikan (MOE). 

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *