Tindakan pihak berkuasa Arab Saudi mencegah rakyat Qatar daripada memasuki Masjidil Haram, mengeruhkan lagi krisis diplomatik di negara Teluk.
Demikian menurut laporan akhbar Al Sharq yang berpangkalan di Doha.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Qatar (NHRC) menerima aduan daripada rakyat Qatar bahawa para jemaahnya dilarang masuk ke Masjidil Haram, lapor akhbar itu pada Sabtu (10 Jun).
Ketua NHRC, Ali bin Smaikh al-Marri menyifatkan insiden itu sebagai mencabuli secara terang-terangan hak untuk mengamalkan agama seperti yang dibenarkan oleh konvensyen hak kemanusiaan, lapor akhbar itu lagi.
Lazimnya, pihak berkuasa Arab Saudi tidak menyoal para jemaah yang memasuki Masjidil Haram mengenai latar belakang kaum atau fahaman mereka.
Dakwaan itu diterima beberapa hari setelah UAE dan Bahrain menyatakan “simpati” yang ditunjukkan kepada Qatar di media sosial adalah satu jenayah, lapor Aljazeera.
Menurut Amiriah Arab Bersatu (UAE) para pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 15 tahun dan didenda $136,000 (S$188,290).
Bahrain pula mengisytiharkannya sebagai kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun.
Pertikaian antara Qatar dengan negara-negara Arab memuncak setelah satu serangan siber ke atas agensi berita pemerintah Qatar.
Arab Saudi, Bahrain, UAE dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan dengan Qatar pada Isnin lalu (5 Jun), menuduhnya menyokong fahaman “pelampau”.
Qatar bagaimanapun dengan tegas menafikan dakwaan itu, lapor laman Aljazeera.
Dalam kenyataannya, pemerintah Qatar menyatakan ia sudah lama menerajui negara-negara di rantau itu dalam menentang “pengganasan”, termasuk memberi golongan muda harapan menerusi pekerjaan, mendidik ratusan ribu pelarian Syria dan membiayai program-program masyarakat untuk mencabar agenda kumpulan-kumpulan bersenjata, lapor Aljazeera.
“Pendirian kami dalam menentang pengganasan lebih kuat berbanding mana-mana penandatangan kenyataan bersama – satu fakta yang dengan mudah tidak diendahkan,” menurut pemerintah Qatar.
Source: http://berita.mediacorp.sg/