INDONESIA: Semasa wanita bernama Leefa meninggalkan Indonesia untuk menyertai ISIS di kubu kuatnya di Raqa, Syria, beliau menyangka dirinya akan ke sebuah destinasi ‘syurga dunia’.
Beliau dan keluarganya membayangkan diri mereka dikelilingi orang-orang yang benar-benar beriman dan menjangkakan akan menerima jagaan kesihatan percuma serta mendapat pekerjaan yang dibayar gaji lebih baik, yang hanya jadi mimpi baginya jika terus menetap di tanah air sendiri, Indonesia.
Namun sekarang, sedang ISIS berperang mempertahankan kubu kuatnya itu, Leefa dan lagi 15 rakyat Indonesia lain adalah antara ribuan orang yang melarikan diri dari Raqa yang terletak di bahagian utara Syria.
Mereka kini berada di kem perlindungan sementara di Ain Issa bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal, sekitar 50 kilometer dari utara Raqa.
SANGKA BOLEH DAPAT PEMBEDAHAN LEHER PERCUMA
Mereka masih menantikan nasib diri sedang Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong Amerika Syarikat terus berperang.
Dalam bahasa Inggeris yang tidak fasih, diselang-seli dengan sedikit bahasa Arab yang dipelajari sepanjang berada di Syria selama 22 bulan, Leefa dan rakan-rakannya mengaku mereka sendiri memilih untuk ke wilayah yang dikuasai ISIS itu.
“Semasa di Indonesia, kami membaca, menonton di internet bahawa Daulah Islamiah itulah tempat yang harus diduduki, untuk menjadi Muslim yang sebenar,” kata Leefa, 38 tahun.
“Saya mengalami masalah kesihatan. Saya perlu jalani pembedahan pada leher dan ia begitu mahal di Indonesia,” tambah beliau.
“Namun (sangkanya) dengan ISIS di sana semuanya percuma, semua percuma,” kata beliau.
“Kami datang ke Syria sertai ISIS untuk jadi Muslim sebenar dan untuk kesihatan saya juga,” tambah beliau, yang mengenakan tudung berwarna hijau.
“SEMUANYA SATU PENIPUAN”
Leefa menjelaskan bahawa beliau berhubungan dengan seorang anggota ISIS di Syria menerusi internet dan diberitahu mereka yang sudah datang ke Raqa akan dibayar balik wang bagi pembelian tiket pesawat dan akan menikmati kehidupan yang baik.
Namun sebaik saja tiba di sana, mereka mendapati keadaannya jauh berbeza daripada yang dijangkakan.
Leefa mendapati pembedahan yang diperlukan bukan percuma dan akhirnya tidak mendapatkan rawatan.
“Semuanya satu penipuan,” kata Nur, 19 tahun, seorang lagi rakyat Indonesia di kem Ain Issa, yang mengenakan tudung berwarna kuning air.
“Setelah kami sertai ISIS, masuk ke negara mereka, semuanya jauh berbeza daripada apa yang disampaikan di internet.”
Menurut Nur, beliau dan keluarganya menjangkakan saudara lelaki mereka akan mendapat pekerjaan, namun apabila tiba, mereka diberitahu semua lelaki wajib menyertai pejuang ISIS.
“Anggota keluarga lelaki kami memasuki penjara, bapa saya, saudara lelaki saya,” kata beliau, tanpa menjelaskan mengapa dan bila kaum keluarga lelaki dimasukkan ke dalam penjara.
Beliau kemudian mendapati dirinya diminta bernikah dengan anggota militan ISIS, kata beliau.
“Terdapat ramai anggota militan ISIS yang duda, hanya bernikah dua minggu atau dua bulan,” kata beliau.
“Ramai lelaki datang ke rumah saya dan memberitahu bapa saya mereka mahukan anaknya,” kata beliau penuh jijik.
Malah saudara lelaki beliau juga pernah ditegur orang yang tidak dikenali di pasar Raqa dan ditanya sama ada beliau mempunyai wanita atau saudara perempuan kerana mereka “mahukan isteri”.
“MEREKA DIPERDAYA”
Kisah-kisah yang beritahu oleh sekumpulan rakyat Indonesia itu – lapan wanita, tiga kanak-kanak dan lima lelaki, bagaimanapun sukar dipastikan.
Namun ia sama dengan kisah-kisah yang pernah diberitahu oleh beberapa individu asing lain yang berhasil melarikan diri daripada wilayah ISIS.
Semuanya mengatakan, apa yang diberitahu dan digambarkan online jauh berbeza dengan keadaan sebenar sebaik saja tiba di ‘khilafah’ ISIS.
Pasukan SDF yang kini memasuki kawasan lebih dalam di Raqa sedang menyoal siasat rakyat Indonesia tersebut namun dijangka membebaskan mereka, menurut pegawai kem Ain Issa, Fayruz Khalil.
“Apa yang saya fahami…mereka semua diperdaya,” beliau memberitahu AFP.
“Mereka mendapati gambaran yang diberikan ISIS semuanya palsu. Sepanjang 10 bulan lalu mereka cuba meninggalkan Raqa namun hanya berjaya melakukan demikian beberapa hari lalu.”
SDF merancang untuk menghantar rakyat Indonesia itu ke sempadan bandar Arbil, Iraq dan menyerahkan mereka kepada kedutaan Indonesia.
Menurut pihak berkuasa Indonesia sekitar 500 hingga 600 rakyat Indonesia dipercayai berada di Syria sekarang.
Lagi 500 merancang untuk ke Syria namun dihantar pulang sebelum sampai ke destinasi.
Sejauh ini, pihak berkuasa negara itu sudah mendaftarkan lebih 60 rakyatnya yang pulang dari Syria, yang kebanyakannya tidak diperiksa dengan ketat sebelum dibebaskan tanpa pemantauan lanjut, menurut para pakar.
Source: http://berita.mediacorp.sg