3 Anak Melayu Raih Kelulusan Kepujian Kelas Pertama Dari NUS

Tiga anak Melayu/Islam muncul sebagai antara lulusan cemerlang dari NUS tahun ini degan lulusan dengan ijazah Kepujian kelas pertama.

DISIPLIN, PENGURUSAN MASA FAKTOR KEJAYAAN

Syasya Naqiyah Amir misalnya berada dalam senarai dekan buat tiga semester.

Bagaimanapun, penerima Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan ini masih sempat meluangkan masa menjadi relawan di Jamiyah dan anggota tiga kelab di NUS.

“Untuk saya, cabaran utama adalah persaingan sengit antara pelajar-pelajar. Tetapi saya suka sekitaran sebegitu kerana ia memotivasi saya untuk mencapai kecemerlangan untuk memperbaiki diri sendiri dan untuk bekerja keras,” katanya.

Seperti Syasya, Khalid Othman yang meraih Sarjana Muda dalam jurusan Sains Hayat dimasukkan dalam senarai Dekan.

Tanggapan bahawa matematik dan sains adalah subjek sukar mendorong beliau memilih kerjaya seorang guru. Khalid kini bertugas di sebuah sekolah menengah.

Khalid memberitahu BERITAMediacorp: “Saya rasa yang lebih penting adalah bagaimana saya dapat tinggikan keyakinan diri saya di dalam universiti untuk berbual dan bercakap di dalam kelas, dalam khalayak orang ramai. Itulah yang saya rasa penting untuk menjadikan saya seorang guru.”

INGIN JADI CONTOH KEPADA ADIK BERADIK

Bagi Muhammad Khairul Anwar Jamil, beliau ingin menjadi contoh kepada lima adiknya.

Mentelah lagi, beliau pernah gagal memasuki universiti setelah meraih keputusan peringkat “A “yang kurang memuaskan.

“Pada ketika itu saya merasa sangat kecewa. Tetapi pada saat itu, keluarga dan rakan-rakan saya mendorong saya untuk meneruskan pelajaran. Bila saya masuk ke politeknik, saya mendapat tahu yang saya mula meminati bidang kejuruteraan,” ujarnya.

Peluang kedua itu tidak disia-siakan dan Khairul bakal berangkat ke Ecuador bulan depan untuk bertugas di salah sebuah syarikat minyak terbesar di dunia.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *