Hanifa Kahar, Orang Bukan Cina Pertama Jadi Presiden Kelab Pidato Mandarin

Buat pertama kalinya seorang anak Melayu/Islam dilantik sebagai Presiden bagi Kelab Pidato (Toastmaster) Mandarin, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI).

Walaupun bukan berbangsa Cina, Cik Hanifa Kahar, 52 tahun, diberi kepercayaan untuk menerajui kelab pidato tersebut oleh lembaga SCCCI, sekaligus mencipta sejarah.

Cik Hanifa memberitahu BERITAMediacorp beliau mula menyertai kelab pidato Mandarin itu sebagai anggotanya dan menyampaikan pidato pertama dalam bahasa Mandarin pada tahun 2015. Beliau juga pernah dilantik menyandang jawatan sebagai Naib Presiden Keanggotaan Kelab.

SESINGKAT 2 TAHUN SAHAJA JADI ANGGOTA, KEMUDIAN DILANTIK JADI PRESIDEN

Ini bermakna beliau dilantik sebagai presiden kelab tersebut dalam tempoh hampir dua tahun. Ternyata, kecekapan dan kewibawaan Cik Hanifa meyakinkan pihak lembaga SCCCI untuk memilihnya.

“Semasa saya menjadi Naib Presiden Keanggotaan, Presiden dan dua lagi Naib Presiden Pendidikan ketika itu berasal dari China. Jadi, semua urusan baik menerusi panggilan telefon mahupun Whatsapp perlu menggunakan bahasa Mandarin, jika tidak saya tidak dapat menjalankan tugasan saya,” kongsi Cik Hanifa.

“Oleh itu, saya belajar bahasa Mandarin di kelab pidato itu, jalankan tugasan, tulis teks pidato dan dapatkan bantuan mereka untuk menyuntingnya. Proses-proses tersebut secara tidak langsung membentuk diri saya yang sekarang. Apabila tiba masa untuk melantik seorang Presiden baru, agak jelas, saya menjadi pilihan mereka,” cerita Cik Hanifa kepada BERITAMediacorp.

Menurut Cik Hanifa, peranan beliau sebagai presiden kelab pidato tersebut adalah untuk menaikkan profil kelab dan memancing minat orang ramai supaya datang ke mesyuarat-mesyuarat mereka untuk lebih memahami tentang kelab itu dan juga SCCCI sendiri.

Meskipun Kelab Pidato Mandarin SCCI adalah kelab yang “inklusif”, Cik Hanifa berkata setakat ini anggotanya terdiri daripada masyarakat Cina dan seorang rakyat Jepun.

SIAPA HANIFA KAHAR?

Cik Hanifa adalah pengasas laman Childhoodspeech – di mana beliau berkongsi pengalamannya mendidik anak beliau menjadi seorang yang boleh bertutur melebihi satu bahasa dan berharap ia dapat memberikan inspirasi kepada para ibu bapa lain.

Selain itu, Cik Hanifa juga sering memberikan ceramah-ceramah motivasi dan perjalanan hidupnya membuatkan rakan-rakan serta masyarakat lebih menghargai keindahan bahasa apabila ia berjaya dikuasai.

Beliau juga merupakan penulis buku bertajuk ‘Parenting Inspired! Follow The Path Where The Child Loves To Grow’, di mana beliau bercerita tentang pengalaman sendiri yang mendapat inspirasi daripada anak tunggalnya, sehingga beliau berjaya membangunkan Childhoodspeech pada tahun 2008.

“Saya mahu memahami lebih lanjut bagaimana saya sendiri bermula bertutur dalam beberapa bahasa sejak kecil lagi dan bagaimana saya boleh mendidik anak perempuan saya. Saya mahu beliau juga belajar bahasa Mandarin. Oleh itu saya berkongsi di laman tersebut,” ujar ibu kepada seorang anak remaja berusia 16 tahun ini.

IBU BAPA JAWA-PALEMBANG, TAPI GALAK ANAK BELAJAR MANDARIN

Bahasa Mandarin sebenarnya bukanlah bahasa yang begitu asing dan baru dipelajari Cik Hanifa.

Menurut Cik Hanifa, ibu bapanya yang berketurunan Jawa-Palembang memastikan beliau, abang serta kakaknya mempelajari bahasa Mandarin meskipun mereka sendiri tidak boleh bertutur dalam bahasa itu.

“Semasa kecil, saya sudahpun mempelajari bahasa Mandarin di sekolah. Kami tinggal di Beach Road pada waktu itu dan bapa saya menghantar kami adik-beradik belajar bahasa Mandarin. Bapa saya seorang yang berpandangan jauh dan mengetahui manfaat bahasa Mandarin ke atas pendidikan dan masa depan kami,” kongsi Cik Hanifa, anak bongsu daripada tiga adik beradik – satu lelaki dan dua perempuan.

Cik Hanifa bersama ibunya. (Gambar: Shamsuddin Kahar/Facebook)

Cik Hanifa juga boleh bertutur dalam empat bahasa lain, termasuk 1 bahasa dialek – Melayu, Inggeris, bahasa Indonesia dan juga Hokkien.

BERBUAL DIALEK HOKKIEN DENGAN ADIK-BERADIK

Ini satu lagi fakta yang boleh membuat anda terpegun. Cik Hanifa dan adik-beradiknya hanya berbual dalam dialek Hokkien sejak kecil sehingga sekarang!

Walaupun sudah biasa dengan bahasa Mandarin selama hampir 50 tahun, Cik Hanifa berkata beliau perlu terus mengamalkannya dalam sekitaran yang dapat membantu memantapkan penguasaan bahasa itu.

Bagi Cik Hanifa, itulah cara paling baik supaya beliau dapat membantu dan mengajarkan bahasa Mandarin kepada anaknya dengan cara yang lebih berkesan.

“Saya menyedari yang saya perlu bertutur dalam bahasa Mandarin dengan anak saya, jadi saya terus mempelajari bahasa itu supaya saya dapat mengajar beliau. Saya mahu memberi inspirasi kepada anak saya dan diri sendiri untuk mendalaminya,” Cik Hanifa memberitahu BERITAMediacorp.

Cik Hanifa menambah: “Saya juga yakin dengan melibatkan diri dengan kelab pidato ini, saya harap saya boleh mendapat inspirasi untuk terus mempelajarinya supaya pendidikan dan asas yang sudah ada tidak sia-sia.”

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *