Syarikat minuman Jepun, Suntory, menarik balik sebahagian minuman kordial Ribena yang dijual di Malaysia.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat (11 Ogos), Pengurus Besar Serantau Suntory bagi Malaysia, Hong Kong dan Singapura, Lee Hon Tong, berkata: “Kami mahu memaklumkan bahawa semasa menjalankan pemeriksaan rutin terhadap mutu minuman itu di kilang kami, kami mendapati terdapat kesilapan pada proses perkilangan.”
Suntory bagaimanapun tidak mendedahkan perinciannya.
Menurut syarikat itu, ia sudahpun “secara sukarela membuat keputusan” untuk menarik balik semua minuman kordial Ribena dengan tarikh luput dari 12 Ogos.
Berikut adalah jenama Ribena dengan tarikh luput masing-masing, yang sudah ditarik balik:
Ribena Cordial Blackcurrant (Mei sehingga Ogos 2018); Ribena Cordial Blackcurrant and Glucose (Mei sehingga Ogos 2018); Ribena Cordial Blackcurrant and Strawberry (Februari sehingga Mac 2018); Ribena Cordial Blackcurrant and Blueberry (Februari sehingga Mac 2018); Ribena Cordial Blackcurrant and Apple (April sehingga Mei 2018).
Menurut Suntory lagi, ia juga sudah menghentikan buat sementara penghantaran semua minuman kordial Ribena, dari kilang di Shah Alam sehingga ke pengedar dan rakan perdagangannya.
Syarikat itu menambah keselamatan para pelanggannya menjadi keutamaan dan ia “sentiasa memantau dan memeriksa semua maklumat berkaitan produk menerusi cara yang selamat dan berkesan”.
“Kami memberi jaminan bahawa kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menghuraikan isu ini dan mengumumkannya sebaik sahaja kami dapat meneruskan proses perkilangan dan penghantaran produk,” tambah Encik Lee.
Mediacorp sudahpun menghubungi penguasa kesihatan di Malaysia dan Singapura bagi mendapatkan komen.
Source: http://berita.mediacorp.sg/