Anugerah Presiden Bagi Guru-Guru Berprestij

Jika dahulu beliau mencipta nama sebagai bintang cilik dalam Aksi Mat Yoyo, kini ‘Bobo’ atau nama sebenarnya Djohan Abdul Rahman, mencipta satu lagi sejarah. ‘Bobo’ dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Presiden bagi Guru-guru yang berprestij, dari Presiden Tony Tan Keng Yam di Istana. Hanya 6 guru cemerlang dipilih menerima anugerah itu daripada lebih 4,000 guru yang dicalonkan tahun ini. Tahun ini juga, buat pertama kalinya, para guru dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik juga dicalonkan dan menjadi pemenang.

 

  • ASRINA ABDUL SAMAD – GURU YANG INOVATIF

Pensyarah dan Mentor Pakar dari ITE Ang Mo Kio, Cik Asrina Abdul Samad merupakan satu-satunya penerima dari ITE yang mendapat anugerah berprestij ini. Seorang guru mekatronik yang inovatif, Cik Asrina merupakan ‘otak’ di sebalik penubuhan sebuah ‘bilik bijak’ atau makmal inovasi iLab di ITE tersebut, yang digunakan untuk mengajar mata pelajaran kejuruteraan itu. Lebih membanggakan lagi, ‘bilik bijak’ itu begitu serba boleh dan membantu pelajaran golongan ‘milenial’, sehingga menarik minat para guru latihan kejuruan dari sejauh Jerman, China, Kanada dan Bangladesh.

Itulah antara antara daya kekuatan dan kecemerlangan Cik Asrina, sehingga beliau dipilih untuk menerima Anugerah Presiden bagi Guru-guru 2017. “Alhamdulillah, saya rasa amat bersyukur dan berbesar hati mendapat anugerah ini. Anugerah ini mengiktiraf usaha rakan-rakan sekerja saya di Institut Pendidikan Teknikal, dalam usaha berterusan, kami meneroka dan mereka bentuk pengajaran yang paling berkesan untuk menarik pelajar-pelajar millennial kami,” kata Cik Asrina.

 

  • DJOHAN ABDUL RAHMAN – PELOPOR BINA KEUPAYAAN BAHASA PELAJAR

Seorang lagi penerima anugerah ini ialah Cikgu Djohan Abdul Rahman, yang terkenal sebagai pelakon kanak-kanak. Meskipun pernah menjadi pelajar VITB yang sekarang dikenali sebagai ITE dan bekerja sebagai teknisyen, kini beliau adalah seorang Ketua Guru dari Sekolah Menengah Bishan Park. Selain meniup inspirasi menerusi kisah hidupnya sendiri, Cikgu Djohan dijulang sebagai pelopor Pertandingan Sahibba Kebangsaan Singapura yang bertujuan membina keupayaan bahasa Melayu para pelajar menerusi permainan. Beliau juga mempelopori pertandingan dikir barat kebangsaan peringkat sekolah rendah bagi tujuan yang sama

Semua itu antara sebab yang membuatkan beliau dipilih sebagai pemenang anugerah guru Presiden hari ini. “Saya memberitahu pihak panelist, sekiranya saya dapat putar balik masa, saya akan mungkin menceburkan, melibatkan diri dalam peguruan ini jauh lebih awal. Sebab saya rasa inilah kerjaya yang sangat saya suka sebab saya dapat menyentuh kehidupan beberapa pelajar yang mungkin memerlukan bimbingan serta dorongan supaya mereka dapat benar-benar jadi individu yang benar-benar produktif dalam masyarakat,” ujar beliau. Sempena hari istimewa hari ini, beliau memilih untuk mengenakan pakaian Melayu – pakaian yang beliau percaya harus dikenakan guru Melayu terlanjur sudah di Istana.

 

  • JAHANGEER JAHABAR – BERI MURID RASA YAKIN, BERJAYA

Seorang lagi penerima Encik Jahangeer Bin Mohamed Jahabar, beliau mempercayai rahsia bagi seseorang murid berjaya dalam subjek Matematik adalah melalui membina rasa keyakinan diri mereka. Ketua Jabatan Sekolah Rendah Endeavour itu juga mendirikan Zon Penukaran Matematik Interaktif di sekolahnya. Zon itu mempamerkan perkara-perkara berkaitan dengan subjek berkenaan dalam bentuk yang unik. “Semuanya adalah untuk keseronokan sambil mereka belajar dan membina keyakinan diri mereka,” jelas beliau.

 

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *