Ketika sedang rasa marah dan geram ketika bergaduh itu, ingat! Jangan buat 5 perkara ini pada pasangan anda.
#1: Tengking. Tengking-menengking ini tiada gunanya. Masa tengking itu, anda mahu pasangan anda faham apa yang anda cuba sampaikan. Tapi sebenarnya bila anda menengking itu, anda dahlah buat pasangan anda takut lepas itu mahu beliau terima poin anda pula. Teknik itu, secara teorinya tidak akan mengeluarkan output yang dikehendaki. Jadi, buang masa saja. Kalau anda tengking sebab mahu lepaskan geram sahaja, itu lagi tidak bagus. Bila tengking ini, anda akan mencederakan emosi pasangan. Nanti bila dah berbaik pun, kadang kala akan terngiang-ngiang. Kesian. Sebab marah dua minit, dua bulan teringat-ingat. Ada juga yang menengking sesama sendiri untuk menjadi dominan dalam pertengkaran. Hmm… tak payahlah. Tiada trofi pun. Buang jauh-jauh ego anda.
#2: Hentak-hentak. Tujuan hentak-menghentak barang ini adalah untuk menunjukkan rasa kurang senang yang terbuku di jiwa. Macam protes secara terangan, cuma tak bawa sepanduk sahaja. Tapi cara ini bukan boleh menyelesaikan masalah pun. Cara ini lebih kepada provokasi. Berdesing juga kan telinga bila orang hentak-menghentak. Lepas itu, daripada dah nak ‘cool’ dah, terus jadi marah balik. Jadi, janganlah hentak-menghentak. Kalau ada yang anda rasa kurang senang, bincang dengan pasangan. Kalau masih tengah geram sangat itu, tunggu sekejap.
#3: Cakap ikut sedap mulut. Kalau dulu anda mungkin selalu dengar, ‘Kata ketika diamuk amarah adalah kata paling benar.’ Ini bukannya betul sangat. Anda sendiri pernah marah kan? Kadang kala masa marah ini bukannya kita cakap benda yang kita betul-betul rasa sangat. Kita sengaja cakap perkara yang boleh sakitkan hati pasangan. Kalau bergaduh, masa itulah cakap: ‘Nak clash!’, ‘Haah. I tak sayang you dah.’ dan sebagainya. Padahal, semua orang tahu anda sayang benar pada pasangan. Kadang kala ada juga yang suka cakap apa saja yang tidak berasas pun, asalkan dia menang. Tak cool lah macam ini. Pasangan anda ini pun bijak juga. Selalunya orang yang jatuh dalam kategori ini akan menyesal selepas beberapa ketika. Tapi, kalau sekali sekala bolehlah tahan, kalau dah selalu, kasihan pasangan anda. Hati terguris lambat nak baik tau.
#4: Cari ketenangan dekat orang lain. Ada yang bagi alasan bahawa pasangan mereka tidak memahami mereka, jadi mereka kena tanya pendapat orang lain dan sebagainya. Ada yang jantina sama, ada yang jantina berlainan. Tak payah nak mengada. Jika anda ada masalah dengan pasangan, selesaikan sesama sendiri. Kalau cari orang lain, itu bukan selesaikan masalah. Itu mencari masalah. Kalau betul-betul perlukan pendapat ketiga, bawa pasangan bersama atau rujuk kaunselor bertauliah.
#5: Pukul. Keganasan domestik ini bukan sahaja berlaku terhadap wanita. Perkara ini berlaku pada kaum Adam juga. Jadi, kalau marah-marah itu, tidak kiralah anda isteri atau suami, jangan sesekali naikkan tangan.